Bekas Menteri Undang-Undang, Zaid Ibrahim membidas Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan mempersoalkan tahap integriti pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang masih tidak meletak jawatan walaupun terlibat dalam skandal perlombongan.
“Jika meletak jawatan adalah SOP kerajaan Madani, mengapa pemimpin GRS terbabit masih kekal?”
“Dan apa maksudnya terhadap sekutu Pakatan Harapan?” soalnya dalam satu hantaran di X.
Pada satu majlis di Kota Kinabalu semalam, Anwar berkata peletakan jawatan Setiausaha Politik Kanannya, Shamsul Iskandar Mohd Akin – yang dikaitkan dengan dakwaan rasuah – sebagai bukti kerajaan Madani mengamalkan tahap integriti yang tinggi.
Namun, Zaid menolak kenyataan itu dengan mengatakan “Anwar sekali lagi membuat kenyataan yang tidak selari dengan keadaan sebenar.”

Dia berkata tindakan Shamsul meletak jawatannya hanya untuk "meminimumkan kerugian" dan tiada kaitan untuk mempertahankan integriti pemimpin kerajaan.
Pada Selasa lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa ahli perniagaan Albert Tei – yang mendedahkan skandal perlombongan itu – mendakwa telah membelanjakan RM629,000 untuk Shamsul selepas diyakinkan bahawa dia boleh mendapatkan semula wang yang telah diberikan kepada ahli-ahli politik Sabah.
Shamsul kemudian mengumumkan peletakan jawatannya di laman X selepas Malaysiakini menghubunginya untuk mendapatkan komen mengenai dakwaan tersebut.
Bekas setiausaha politik perdana menteri itu berkata ada percubaan untuk menyerangnya “dengan perkara yang boleh merosakkan imej kerajaan Madani”.
“Justeru saya mengambil keputusan untuk mempertahankan diri saya daripada serangan ini,” katanya.
Pendedahan demi pendedahan
Sejak November tahun lalu, Tei memuat naik video, dokumen, dan tangkap layar WhatsApp yang mendakwa ahli politik GRS menerima rasuah sebagai balasan untuk mendapatkan lesen cari gali mineral.

Tei dan dua ahli Dewan Undangan Negeri kemudiannya didakwa. Anwar menyifatkan kritikan bahawa dia melindungi pihak lain, menegaskan bahawa kes tersebut masih berjalan.
Sepuluh pemimpin yang terlibat kini bertanding dalam pilihan raya negeri Sabah.
Pengerusi GRS dan Ketua Menteri sementara Sabah, Hajiji Noor mendakwa Tei sebagai sebahagian daripada kartel yang cuba memonopoli perlombongan di negeri itu.
Tei juga menuduh Anwar menggunakan bukti itu sebagai ugutan untuk agenda politiknya di Sabah.
