Bekas timbalan menteri undang-undang Mohamed Hanipa Maidin membidas tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyerbu kediaman ahli perniagaan Albert Tei, meskipun peguamnya memaklumkan tarikh untuk merakam kenyataan telah pun ditetapkan.
Katanya, walaupun peguam Tei, Mahajoth Singh, mendakwa pegawai SPRM memasuki rumah anak guamnya dengan waran, namun tindakan itu tetap “pencerobohan tidak wajar” kerana mereka sudah pun bersetuju untuk Tei hadir memberi keterangan pada Isnin ini.

“Isu yang dipersoalkan bukan kuasa penyiasatan SPRM, tetapi keperluan dan kewajaran pendekatan sedemikian.
“Tiada siapa mempertikaikan kuasa SPRM menyiasat rasuah. Persoalannya: adakah perlu menggunakan taktik keras sebegini, sedangkan tarikh untuk merakam kenyataan sudah ditetapkan?” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Pemimpin Amanah itu turut mempersoalkan justifikasi melakukan serbuan terhadap individu yang bukan ancaman keselamatan.
“Adakah Tei ini pengganas tegar sampai perlu diserbu sebegitu rupa?” soalnya lagi.
SPRM pagi tadi menahan Tei selepas anggota suruhanjaya itu menyerbu kediamannya di Puchong, Selangor.

Berdasarkan rakaman video pendek yang diberikan kepada Malaysiakini, sekumpulan pegawai SPRM lengkap dengan peralatan taktikal - termasuk jaket kalis peluru dan penutup muka - mengari Tei sebelum mengiringnya ke dalam sebuah kenderaan hitam tanpa nombor kenderaan.
Seorang lagi peguamnya, Zaid Malek, yang merakam video itu kedengaran bertanya berulang kali kepada pegawai berkenaan mengenai ke mana Tei dibawa dan meminta bercakap dengan pegawai yang bertanggungjawab, tetapi tidak diendahkan.
Tei - yang merupakan individu utama dalam pelbagai dakwaan rasuah terhadap ahli politik terkenal Sabah - dilihat mengangkat tangan ke arah kamera beberapa kali sambil melaungkan "lawan tetap lawan" sebelum dimasukkan ke kereta.
Mengulas lanjut, bekas ahli parlimen Sepang itu berkata tindakan tersebut mengingatkannya kepada amalan era pentadbiran BN dahulu, ketika serbuan agresif terhadap tokoh politik dianggap perkara lazim.

“Saya pernah mewakili tokoh seperti Mohamad Sabu pada masa lalu. Taktik begini lumrah pada zaman BN. Tak sangka ia berulang ketika negara ditadbir kerajaan Harapan,” katanya yang juga adalah seorang peguam.
“Malangnya, ia berlaku lagi dalam era Madani,” tambahnya, sambil menyatakan kebimbangan terhadap hala tuju budaya pentadbiran semasa.
Sementara itu, sayap pemuda Bersatu ((Armada) Selangor dalam satu kenyataan berasingan menggesa kerajaan Madani untuk menjelaskan operasi serbuan ke atas kediaman Tei.
Sambil mengecam tindakan itu, ketuanya Afiq Nardin berkata undang-undang mesti ditegakkan secara telus dan berhemat kerana sebarang tindakan yang bercampur dengan intimidasi atau kekerasan yang tidak perlu hanya akan menghakis kepercayaan orang ramai terhadap SPRM dan sistem keadilan negara.

"Sehubungan itu, Armada Bersatu Negeri Selangor menggesa pihak Kerajaan untuk memberikan penjelasan segera berhubung operasi penahanan tersebut.
"Penjelasan yang jelas amat diperlukan bagi mengelakkan kekeliruan dan memastikan rakyat tidak melihat insiden ini sebagai satu bentuk penyalahgunaan kuasa atau tindakan yang didorong kepentingan lain yang berada di luar ruang undang-undang," katanya.
