Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Runner’ mengaku salah serang wartawan, hukuman belum diputuskan

Seorang lelaki berusia 37 tahun mengaku di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi ini bahawa dia sengaja menyebabkan kecederaan kepada wartawan sukan Haresh Deol pada 25 Nov.

Krishnan Rajendran mengaku bersalah di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan atas pertuduhan melakukan serangan antara 3.10 hingga 3.32 petang di hadapan bangunan Tanjung Balai Group di Jalan Telawi, Bangsar, Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Krishnan didakwa bersama seorang lagi individu yang masih bebas. Pertuduhan itu dibuat bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Susulan itu, mahkamah menetapkan 22 Januari tahun depan untuk mendengar fakta kes dan memutuskan hukuman, serta mengarahkannya membayar ikat jamin RM2,000.

Krishnan diwakili oleh peguam Mohamad Salihen Mostar manakala pihak pendakwaan dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya Hench Goh.

Goh pada mulanya memohon agar mahkamah menetapkan ikat jamin RM4,000 kepada Krishnan.

Namun, Salihen merayu agar jumlah itu dikurangkan, berkata tertuduh hanya memperoleh RM40 sehari sebagai runner dan perlu menanggung isteri serta enam anak, dengan yang bongsu baru berusia setahun.

Haresh Deol

Katanya, isteri tertuduh hadir di mahkamah dan pihaknya bersetuju sekiranya mahkamah ingin mengenakan syarat tambahan terhadap jaminan, dan pihak pendakwaan tidak membantah cadangan tersebut.

Jumlah jaminan kemudian dikurangkan separuh, tanpa sebarang syarat tambahan dikenakan.

Haresh, pengasas bersama portal berita atas talian Twentytwo13, menerusi hantaran di X pada Selasa lalu berkata dia diserang dua individu di Bangsar ketika siang hari, selain seorang lagi individu didakwa merakam kejadian itu. Dia kemudian membuat laporan polis.

Isterinya menyifatkan kejadian tersebut sebagai yang pertama berlaku sepanjang 25 tahun Haresh dalam bidang kewartawanan.

Difahamkan Haresh mengalami kecederaan pada muka, tangan dan badan ketika cuba melarikan diri daripada penyerang.

Ketua Polis Brickfields, Hoo Chang Hook mengesahkan kes itu disiasat di bawah Seksyen 232 Kanun Keseksaan.

Susulan serangan itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menggesa siasatan segera dijalankan, manakala presiden National Press Club (NPC), Ahirudin Attan mengecam keras serangan terhadap Haresh, yang juga timbalan presiden NPC.

Bekas Anggota parlimen Klang, Charles Santiago pula menyamakan serangan terhadap wartawan sebagai serangan terhadap kebebasan bersuara.

Gerakan Media Merdeka (Geramm) dan Majlis Media Malaysia turut mengecam serangan tersebut serta menegaskan tindakan mengugut pengamal media menjejaskan kebebasan media yang perlu dijunjung di sebuah negara demokratik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS