Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) hari ini membuat laporan polis terhadap bekas setiausaha politik kanan perdana menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin berhubung dakwaan skandal rasuah didedahkan Albert Tei baru-baru ini.
Pengerusi Urimai P Ramasamy berkata laporan polis tersebut dibuat bagi mencari kebenaran berhubung pendedahan rasuah dibuat ahli perniagaan dan pembocor maklumat yang gagal mendapat lesen perlombongan mineral di Sabah itu.
Katanya, meskipun pendedahan membabitkan skandal rasuah pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dibuat, namun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya mendakwa Tei kerana memberi rasuah berjumlah RM500,000 dan dua lagi ahli politik di Sabah.
"Sama ada perkara ini benar atau tidak, siasatan polis mungkin dapat membongkar kebenaran.
"Skandal pelombongan Sabah ini tidak terhad kepada negeri tersebut sahaja, malah telah merebak sehingga melibatkan ahli politik di Semenanjung Malaysia.
"Skandal perlombongan ini muncul selepas satu lagi skandal besar melibatkan bola sepak, apabila pegawai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dituduh memalsukan dokumen tujuh pemain asing untuk mendapat taraf kewarganegaraan," katanya dalam laporan polis yang dibuat.
Laporan polis dibuat di Balai Polis Bandar Perda, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.
Terdahulu, Tei mendedahkan dirinya memberikan wang kepada ahli politik di Sabah untuk mendapatkan lesen cari gali mineral, namun akhirnya dia tidak memperoleh lesen tersebut.
Terbaru dia mendakwa membelanjakan RM629,000 untuk Shamsul Iskandar yang didakwanya telah memberi jaminan akan mendapatkan semula yang telah disalurkan kepada ahli politik terbabit.
Dalam pendedahan membabitkan dokumen 300 muka surat itu, Tei mendakwa dia memberi wang tunai, dan membeli perabot untuk kegunaan di kediaman Shamsul Iskandar selain menghabiskan RM8,000 untuk menempah sut.
Ramasamy berkata, Urimai berharap polis dapat melengkapkan siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM.
"Pihak polis mempunyai tahap kredibiliti yang tinggi dalam negara berbanding agensi penyiasatan lain.
"Sebagai Pengerusi Urimai, sebuah gerakan sosial dan politik yang memperjuangkan hak di Malaysia, saya menggesa pihak polis menyiasat skandal pelombongan Sabah, khususnya peranan Shamsul Iskansar dan Tei, dengan segera," katanya lagi.
