Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Apa rancangan untuk kes DNAA ahli politik, soal Projek Sama
Diterbitkan:  Nov 28, 2025 6:46 PM
Dikemaskini: 10:51 AM

Project Stability and Accountability for Malaysia (Projek Sama) menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan perancangan sama ada mereka mahu mendakwa semula ahli politik yang diberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) atau sebaliknya.

Organisasi itu merujuk khusus kepada kes-kes yang melibatkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, bekas perdana menteri Najib Razak, bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Mansor, serta bekas timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa — yang pertuduhan rasuah mereka berstatus DNAA sejak bertahun-tahun.

“Projek Sama memberi amaran bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim bakal menanggung risiko politik sekiranya mereka akhirnya diberi pelepasan dan pembebasan (DAA) tanpa perbicaraan penuh.

“Ini lebih-lebih lagi kerana perdana menteri berulang kali berikrar memerangi rasuah melalui tindakan betul, telus dan tegas — satu janji yang kini dituntut rakyat untuk dipenuhi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut mereka, DNAA berlarutan bukan saja tidak adil kepada tertuduh, malah membuka ruang untuk tertuduh memohon DAA.

Jika DAA berlaku kerana kegagalan AGC mendakwa semula dalam tempoh munasabah selepas menarik balik pertuduhan di bawah Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah, ia boleh menimbulkan tanggapan bahawa tindakan AGC kabur, tidak telus atau secara tidak langsung memihak kepada tertuduh, katanya.

Ini kerana peguam negara yang dilantik dan boleh digugurkan atas nasihat perdana menteri, menjadikan tanggungjawab politik akhirnya tetap terletak pada perdana menteri, katanya lagi.

Najib — bersama bekas ketua setiausaha Perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah — didakwa pada 2018 atas pertuduhan pecah amanah (CBT) melibatkan bayaran RM6.6 bilion kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) diberi DNAA pada 27 Nov tahun lalu.

Zahid pula didakwa pada 2019 atas 47 pertuduhan pecah amanah membabitkan dana Yayasan Akalbudi, diperintah membela diri pada 2022, dan menerima DNAA pada 2023.

Tengku Adnan didakwa pada 2015 kerana didakwa menerima lebih RM3 juta rasuah sebelum diberi DNAA pada 2020, manakala Nasharudin didakwa atas kesalahan pengubahan wang haram dan pecah amanah pada 2019 dan menerima DNAA lima tahun lalu.

Dalam kes Najib, Projek Sama memberi amaran bahawa DNAA akan dilihat sebagai percubaan tidak beretika untuk menamatkan salah satu kesnya sebelum dia layak mendapat parol pada 23 Ogos tahun depan — selepas menjalani dua pertiga daripada hukuman penjara enam tahun yang telah diringankan.

Menurut Projek Sama, Anwar juga akan dipersalahkan sekiranya kes IPIC gagal diteruskan atas sebab lain.

“Pertuduhan itu ditarik balik kerana beberapa dokumen bukti yang digunakan pendakwaan diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi oleh Kementerian Kewangan, menyebabkan ia tidak boleh diserahkan kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

“Dalam hal ini, Anwar sebagai menteri kewangan boleh mempercepatkan perbicaraan dengan menyahklasifikasi dokumen tersebut — dengan penyuntingan jika perlu — namun gagal berbuat demikian.”

Mengenai Zahid, Projek Sama berkata ramai rakyat melihat hasil DNAA dalam konteks sokongan politik Umno kepada kerajaan perpaduan, dan Anwar boleh menepis teori konspirasi dengan memastikan AGC mengambil tindakan sewajarnya untuk mendakwa semula Zahid.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS