Lebih 1,000 penduduk Orang Asli terputus hubungan susulan kejadian tanah runtuh di Kampung Tapai, Pos Hau, di Gua Musang, semalam yang mengakibatkan laluan ke Pos Balar tidak dapat diakses walaupun menggunakan pacuan empat roda.
“Saya berharap tindakan segera dapat diambil pihak berwajib untuk menyelesaikan masalah ini.
“Sekarang kami sudah tidak dapat keluar untuk urusan di Bandar Gua Musang atau membeli bekalan makanan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Balar, Hanan Anjang kepada pemberita di Gua Musang.
Hujan lebat berterusan di kawasan pedalaman itu dipercayai punca kejadian tanah runtuh tersebut.
Beliau berkata lima pemuda yang dalam perjalanan pulang ke Pos Balar terpaksa mengangkat tiga motosikal selepas terkandas di kawasan timbusan tanah berkenaan semalam.
Menurutnya setakat tengah hari tadi, kelima-lima mereka masih belum tiba di rumah masing-masing di Kampung Ipes dan Kampung Barung dipercayai kerana keadaan lumpur tebal telah melambatkan perjalanan mereka.
“Saya dimaklumkan oleh penghulu Kampung Tapai tentang kejadian itu semalam sebagai makluman awal kepada penduduk di Pos Balar, sekiranya ada yang ingin memulakan perjalanan keluar dari pos hari ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan dan Terengganu Mohd Faedyzal Mohamed berkata pihaknya sedang mendapatkan maklumat lengkap mengenai kejadian itu.
- Bernama
