ANALISIS | Dalam banyak hal, kisah Dagat adalah kisah Sabah itu sendiri. Seperti mana kampung-kampung sungai sebegini berada di pinggir perhatian negeri, Sabah juga berada di pinggir kuasa persekutuan — kaya sumber namun miskin pulangan.
Selama berdekad-dekad, keputusan mengenai minyak, elektrik dan dana pembangunan negeri dibuat jauh dari sini, di kementerian-kementerian yang melihat Sabah sebagaimana Kota Kinabalu melihat Dagat: jauh, kecil dan tidak signifikan pada statistik.
Jauh di pedalaman lembangan Sungai Segama Hilir, Kampung Dagat — sebuah penempatan kecil di pendalaman — terus bertahan tanpa jalan diwartakan, tanpa hospital dan tanpa bekalan elektrik stabil, menggantung harapan yang tidak pernah benar-benar tiba.
Penduduk kampung terhubung ke dunia luar melalui isyarat internet yang rapuh namun tetap terputus dari rangkaian jalan raya — kehidupan mereka berlangsung di luar jangkauan jalan turap, perhatian dan kuasa.

Pada waktu subuh, kampung ini bangun dengan bunyi enjin dan doa.
Air pasang masih rendah dan dalam gelap penduduk sudah meredah sungai menolak perahu kayu menuju ke lubuk ikan yang semakin kurang hasilnya saban tahun.
Ia denyut nadi setua sungai itu sendiri, diulang keluarga demi keluarga yang telah tinggal di sini selama beberapa generasi — di ambang salah satu kawasan bakau terakhir Sabah yang masih hidup.
Bandar terdekat, Kota Kinabatangan, terletak kira-kira tiga jam perjalanan menaiki pacuan empat roda.
Penduduk bergantung pada generator yang hanya berfungsi beberapa jam setiap malam.
Hari ini, dua puluh rumah mendapat tenaga daripada sistem solar 30 kWh yang dipasang NGO Forever Sabah — buat pertama kali kampung itu mengenal malam tanpa bunyi enjin.
“Semua tenaga kami datang daripada solar, tapi tidak cukup kuat, hanya untuk lampu, TV dan cas telefon.
“Kami baru dapat menara internet tahun ini, tapi monyet selalu panjat dan putuskan wayar,” kata Rosnah Kassim, penyelaras lapangan Forever Sabah yang juga anak jati Kampung Dagat.
Penduduk Dagat kebanyakannya daripada etnik Tidung, yang berpindah ke kawasan ini sekitar tahun 1940an selepas terpaksa berpindah dari tempat asal yang berdepan masalah banjir berterusan.
Hari ini, terdapat kira-kira 40 keluarga tinggal di Dagat.
Pada waktu malam, kampung itu berkelip-kelip samar. Anak-anak menyiapkan kerja sekolah dengan lampu suluh; ibu bapa duduk di anjung kayu, mendengar dengungan serangga dan tawa halus dari tepi sungai. Sunyi, tetapi tidak pernah mati.
Sebelum subuh dah berhutang
Di sini, sungai menjadi sumber rezeki para lelaki, tetapi untungnya mengalir ke tempat lain.
Nelayan berhutang dengan pemborong yang dikenali sebagai tauke, yang membekalkan minyak, ais dan umpan secara hutang.
Bayaran hanya dibuat apabila ikan dijual — tetapi pada harga yang ditentukan tauke yang sama.
“Bila bayar minyak, hampir tiada yang tinggal,” kata Halima Bisan, 49, ketua kumpulan ekonomi wanita Dagat.
“Tauke dapat empat kali ganda daripada kami. Kami cuma cukup beli beras dan untuk trip seterusnya,” katanya.
Sekilo siakap yang dijual RM8 di Dagat boleh mencecah lebih RM30 di Kota Kinabalu.
Satu persatuan nelayan kecil pernah cuba memintas orang tengah, tetapi tanpa bilik sejuk beku, tanpa jalan elok dan tanpa sokongan kerajaan, usaha itu tidak kesampaian.

Lebih jauh ke hilir — nelayan Mumiang, Pitas Laut, Litang, Sri Ganda dan Tundun Bohangin — semuanya menceritakan kisah sama, terperangkap dalam jaringan hutang dan kawalan yang tidak pernah berubah.
Setiap pagi hari bekerja, kira-kira sepuluh pacuan empat roda beratur di luar kampung.
Mereka berkonvoi membawa sekitar dua puluh anak ke Sekolah Kebangsaan Kampung Tidung, sejam perjalanan melalui jalan ladang berlumpur.
Tiada bas sekolah — hanya ibu bapa bergilir-gilir memandu.
“Bila jalan banjir, kami tak dapat pergi,” kata Nurin Jafar, 34, ibu kepada empat anak.
“Kadang-kadang anak-anak tak pergi sekolah beberapa hari,” katanya.
Untuk sekolah menengah, anak-anak tinggal di asrama SMK Bukit Garam 2, lima jam dari kampung. Mereka hanya pulang pada cuti perayaan.
“Kami mahu hidup lebih baik untuk mereka. Tapi rasa macam menghantar mereka jauh dari kami,” kata Nurin.
Lahir, mati dan menanti
Kebanyakan bayi di sini masih dilahirkan di rumah. Bidan kampung membantu dengan herba dan pengalaman puluhan tahun.
Klinik bergerak kerajaan, yang sepatutnya sampai ke tempat seperti Dagat, jarang tiba.
Kunjungan berselang bulan dan kerap dibatalkan apabila sungai banjir atau masuk musim hujan.
“Kalau hujan, mereka tak datang. Jadi kebanyakan kami bergantung pada bidan dan ubat tradisional,” kata Rahima Lajim, 62.
Perkhidmatan helikopter perubatan dihentikan pada 2017.
“Selepas itu, tiada apa-apa,” kata seorang ibu lain.
“Sekarang, jika sakit, tunggu saja. Kalau mati, matilah di sini,” kata Nurin yang mengingati beberapa kematian berlaku ketika pesakit dalam perjalanan ke hospital.
“Perjalanan terlalu memenatkan dan terlalu jauh,” katanya.
Ketika pandemik Covid-19, seorang wanita terpaksa tinggal di hospital selama dua bulan untuk bersalin.
Janji politik tak dikota
Dagat dan kampung-kampung jirannya — Mumiang, Pitas Laut, Litang, Sri Ganda dan Tundun Bohangin — semuanya berada dalam DUN Sukau dan Parlimen Kinabatangan.
Kedua-duanya kini diwakili oleh Umno: Jaffry Ariffin sebagai Adun Sukau manakala Bung Moktar Radin telah menjadi ahli parlimen Kinabatangan sekian lama.

Kesemua kampung sungai ini hanya menyumbang kurang 2,000 pengundi — jauh lebih kecil berbanding pengundi bandar.
“Siapa pun kami undi, tiada apa berubah. Ahli politik hanya datang bila jalan kering,” kata Rosnah Kassim.
Namun, mereka masih mengundi — kerana rasa tanggungjawab, bukan kepercayaan — berharap janji pembangunan luar bandar suatu hari nanti sampai juga.
Tetapi pengalaman mengajar mereka bahawa jumlah pengundi menentukan perhatian yang diberikan ahli politik dan angka mereka terlalu kecil untuk diberi tumpuan.
Ironinya, rasa tidak berdaya Dagat mencerminkan perjuangan Sabah dengan persekutuan.
Seperti suara Dagat terlalu kecil untuk didengari Kota Kinabalu, suara Sabah terlalu lemah untuk bergema di Putrajaya.
Ketidakseimbangan itu berulang pada setiap peringkat — sebuah kampung terpinggir oleh negeri, sebuah negeri terpinggir oleh negara.
Sabah menyumbang berbilion ringgit melalui minyak, kayu balak, kelapa sawit dan cukai namun banyak kekayaan itu kembali dalam bentuk peruntukan yang diputuskan di tempat lain — kadang lewat, kadang tidak muncul.
Dasar persekutuan menjanjikan kemakmuran bersama, tetapi bagi keluarga-keluarga di kampung sungai terpencil ini, akses kemudahan asas pun masih angan-angan.
Sabah hanya memiliki 25 kerusi parlimen daripada 222 — tidak cukup untuk menentukan kuasa, meskipun cukup untuk menjadi “kingmaker”.
Sedikit sangat pengaruh itu sampai ke enam kampung dalam DUN Sukau — jalan kekal tidak berturap, janji tetap tidak dikotakan.
Seperti dua ribu pengundi di sepanjang Sungai Segama Hilir, kekuatan undinya tidak cukup untuk menggerakkan neraca.
Penduduk kampung mungkin tidak kelihatan pada mata negeri, tetapi negeri juga kerap tidak kelihatan pada mata persekutuan.
Dagat tetap bertahan
“Kami tolong satu sama lain tanpa bayaran sebab kami semua keluarga,” kata Marina Ida Matin, 53, yang suaminya masih menjual ikan terus ke pasar untuk mengelak tauke.
Yang lain seperti Halima Bisan mengurus koperasi kecil memproses udang kering dan keropok ikan, sekadar cukup membeli minyak atau peralatan sekolah.
Hutan bakau yang dahulu melindungi anak-anak ikan semakin menipis akibat penebangan di hulu.
Namun, penduduk tetap menebar jala — percaya pada air, pada sungai, pada satu sama lain.
“Kita mesti hidup selaras dengan alam,” kata Marina perlahan. “Tapi apa akan jadi pada kami kalau nanti tiada ikan, tiada kuasa, tiada bantuan lagi?”
Soalan itu hanyut bersama arus Sungai Segama — tanpa jawapan, seperti hal-hal lain di Dagat.
[Baca berita asal]
