Terkejut dengan berita tujuh pemain bola sepak “warisan” memperoleh kewarganegaraan, sebuah keluarga Bajau tanpa status warganegara di Labuan mula mempersoalkan nasib mereka sendiri.
Azwan (bukan nama sebenar) dan adik-beradiknya kehilangan kewarganegaraan selepas sijil kelahiran mereka dibatalkan kerana tidak menurut peraturan pendaftaran — sama seperti dapatan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) terhadap pemain-pemain berkenaan.
Namun tidak seperti pemain bola itu, Azwan dan adik-beradiknya tidak memiliki kewarganegaraan lain sebagai sandaran.
“Kami bukan orang kaya, kami orang biasa. Kamu lihat tujuh pemain bola itu? Kami pun tak kenal mereka, tiba-tiba saja mereka jadi warganegara Malaysia. Lepas itu, tiba-tiba (dilapor pula Fifa kata) dokumen mereka palsu.

“Tapi kami? Kami lahir di Labuan, kami sekolah di Labuan. Tapi layanan macam kami ini orang asing,” luahnya kepada Malaysiakini.
Asal-usul isu
Isu itu bermula daripada satu perjanjian antara bapa Azwan dan ibu saudaranya.
Ketika Azwan berumur kira-kira 14 tahun, bapanya membuat satu perjanjian dengan salah seorang sepupunya. Wanita itu bersetuju untuk namanya dicatatkan sebagai ibu dalam sijil kelahiran anak-anak Azwan, bagi membolehkan mereka mendapat kewarganegaraan.
Sebagai kanak-kanak, dia tidak tahu butirannya. Dia juga tidak tahu mengapa ibu saudaranya tiba-tiba membuat laporan polis pada 2014 untuk menyatakan bahawa dia bukan ibu kandung mereka.
Pada masa laporan itu dibuat, bapa mereka telah meninggal dunia selama tiga tahun, jadi Azwan dan adik-beradiknya tidak dapat bertanya tentang perjanjian berkenaan.
Ibu kandung mereka, seorang warga Filipina, masih hidup — namun sehingga kini tetap menegaskan bahawa dia tidak tahu apa-apa mengenai butiran perjanjian tersebut.

Kes tujuh pemain bola itu kini menjadi tumpuan dalam perbincangan mengenai isu kerakyatan, apabila aktivis dan warga tanpa dokumen pengenalan mendakwa ia sebagai bukti jelas wujudnya layanan dua darjat.
Pada September lalu, Fifa mengenakan denda 350,000 franc Swiss (RM1.9 juta) terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) manakala tujuh pemain — Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel — masing-masing dikenakan denda 2,000 franc Swiss.
Fifa turut mengenakan tindakan terhadap FAM dan tujuh pemain itu kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib Fifa (FDC) berkaitan pemalsuan dan penipuan dokumen.
FAM membuat rayuan, menyebabkan jawatankuasa rayuan Fifa pada 17 Nov mengarahkan siasatan penuh dijalankan ke atas operasi dalaman FAM.

Hasil dapatan jawatankuasa itu mendedahkan wujud rancangan yang disengajakan dan tersusun, termasuk pengubahsuaian sijil kelahiran datuk, nenek pemain, yang kemudian dihantar FAM kepada Fifa sebagai dokumen asli.
‘Kenapa kami dihukum?’
Azwan menyoal mengapa dia dan adik-beradiknya dihukum, sedangkan mereka yang terbabit dalam kontroversi FAM seolah-olah terlepas begitu sahaja.
Dia berkata laporan polis oleh ibu saudaranya mencetuskan siasatan terhadap dokumen pengenalan diri mereka, menyebabkan status kewarganegaraan keempat-empat mereka berada dalam keadaan terawang-awang.
Malaysiakini telah menulis kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mendapatkan penjelasan dan JPN menjawab bahawa adik-beradiknya tidak mempunyai tuntutan terhadap kewarganegaraan Malaysia di bawah Bahagian III Perlembagaan Persekutuan, berdasarkan semakan dokumen dan rekod.

JPN berkata siasatan telah ditutup pada 2021. Namun, jawapan itu menimbulkan lebih banyak persoalan bagi Azwan.
“Ketika JPN Labuan panggil abang saya (untuk ambil keterangan bagi siasatan) Ogos tahun ini, mereka beritahu perkara sama: masih dalam siasatan,” dakwanya.
Anak tidak dapat bersekolah
Azwan berkata dia sedih apabila isu ini menjejaskan status anak perempuannya sendiri — menyebabkan dia tidak dapat bersekolah.
Dalam sebak, dia berkata lebih-lebih lagi apabila ditanya jika anaknya akan mula bersekolah tidak lama lagi.
“Kalau kamu seorang ibu bapa dan anak kamu tanya bila dia boleh masuk sekolah, apa kamu rasa?
"Saya boleh bagi tahu, saya sangat sedih. Tanpa sedar, air mata jatuh sendiri,” katanya.
Dia menunjukkan salinan sijil kelahiran anaknya kepada Malaysiakini sebagai bukti. Walaupun ditandakan sebagai Bajau pada ruangan bangsa, ruangan kewarganegaraan tertulis “belum ditentukan”.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini mengumumkan bahawa anak kepada wanita Malaysia yang berkahwin dengan lelaki asing akan diberi kewarganegaraan secara automatik. Namun, isteri Azwan bukan warga Malaysia.

Selain dirinya, Azwan menceritakan bagaimana isu itu menjejaskan adik-beradiknya.
Kakaknya, seorang ibu tunggal bergantung pada bantuan kerajaan untuk menampung tambahan kepada RM800 nafkah anak yang diterimanya daripada bekas suami.
Namun, selepas kewarganegaraannya dibatalkan, dia tidak lagi layak menerima bantuan kerajaan. Kini dia menjual kuih-muih untuk menyara hidup, kata Azwan.
Dia turut mendakwa seorang lagi adiknya terpaksa berhenti bekerja sebagai pemandu e-hailing kerana tidak dapat mendaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat.
Terdesak mencari penyelesaian, Azwan menulis sepucuk surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai keadaan mereka.
“Saya rasa kamu boleh bayangkan kesusahan kami. Sangat, sangat sedih.
“Saya tidak percaya Malaysia begitu zalim. Saya tak salahkan Malaysia. Tapi JPN, tidakkah mereka ada rasa belas kasihan,” soalnya.

Menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), tiada angka tepat mengenai jumlah individu tanpa kewarganegaraan di Sabah dan Sarawak.
“Tidak seperti populasi tanpa negara di Malaysia Barat, keadaan di Malaysia Timur — khususnya berkaitan konteks migrasi campuran di Sabah — jauh lebih sukar ditentukan, dan usaha melaksanakan program berkaitan biasanya dianggap lebih kompleks,” kata badan itu pada laman rasmi.
Ini termasuk kelompok Bajau, anak kepada migran Filipina dan Indonesia, kanak-kanak jalanan atau mereka di rumah kebajikan, serta komuniti nomad pribumi.
