Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO gesa k'jaan siasat dakwaan rasuah, cara SPRM berkas Tei
Diterbitkan:  Nov 29, 2025 8:53 AM
Dikemaskini: 12:53 AM

NGO Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa kerajaan menyiasat kedua-dua dakwaan rasuah yang dibangkitkan ahli perniagaan Albert Tei serta cara dia ditahan oleh pegawai SPRM semalam.

Presidennya Raymon Ram berkata penting untuk memastikan sama ada rasuah atau salah laku tidak ditoleransi dan hasil siasatan mesti didedahkan kepada umum.

“Ketelusan alat paling berkesan untuk memulihkan keyakinan awam.

“Kemas kini jelas daripada pihak berkuasa dapat mengurangkan khabar angin dan spekulasi mengenai manipulasi politik,” katanya pada kenyataan semalam.

Semalam, isteri Tei, Lee Pei Rie membuat laporan polis berhubung serbuan SPRM ke atas rumah pasangan itu di Puchong, Selangor.

Dalam laporan itu, Lee Pei Rie meluahkan kebimbangan mengenai keselamatan suaminya dan menggesa siasatan dijalankan terhadap tindakan sesetengah pegawai SPRM ketika serbuan itu.

“Saya membuat laporan ini kerana saya khuatir tentang keselamatan suami saya dan ingin memastikannya selamat sewaktu di dalam tahanan dan saya menuntut supaya kesemua anggota-anggota SPRM yang melakukan tindakan seperti diatas disiasat sepenuhnya,” katanya dalam laporan itu yang dilihat Malaysiakini.

Lee mendakwa pegawai SPRM telah mengacukan pistol kepada Tei ketika dia digari.

Dia juga mendakwa salah seorang pegawai mengacukan pistol kepadanya selepas mendapati dia merakam serbuan itu menggunakan telefonnya.

Pegawai terbabit kemudian merampas bukan sahaja telefonnya tetapi juga telefon milik penghuni lain di rumah tersebut, sebelum memadamkan video dalam peranti berkenaan.

Lee turut mendakwa pegawai SPRM telah mengimbas rumahnya menggunakan sebuah peranti elektronik.

Namun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki menafikan dakwaan pegawainya mengacukan senjata ketika menahan Tei.

Sebaliknya, dia menegaskan penahanan yang dilakukan pegawai SPRM itu mematuhi prosedur yang telah ditetapkan.

Sehubungan itu, Raymon mengingatkan pihak berkuasa bahawa tuntutan keadilan mesti mematuhi perlindungan perlembagaan dan undang-undang yang diberikan kepada semua warganegara.

Dia turut menegaskan bahawa menafikan hak peguam kepada seseorang tertuduh hanya boleh dibuat dengan justifikasi yang jelas.

“Ini bukan insiden terpencil tetapi sebahagian daripada cabaran nasional yang lebih besar: memastikan institusi kekal berwibawa, bebas dan bertanggungjawab.

“Transparency International Malaysia bersedia memantau rapat situasi ini serta menyokong usaha memperkukuh tadbir urus dan akauntabiliti supaya mereka yang terlibat dalam rasuah dibawa ke muka pengadilan.

“Hanya melalui ketelusan, keadilan dan integriti Malaysia dapat bergerak maju dan memelihara keyakinan rakyat,” kata Raymon lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS