Paling Popular
Terkini

Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini membenarkan perintah reman enam hari terhadap ahli perniagaan Albert Tei dan bekas pegawai kanan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Shamsul Iskandar Akin.

Peguam kedua-duanya mengesahkan perkara itu kepada media selepas prosiding reman pagi ini.

Terdahulu, Tei dan ketua PKR Melaka itu tiba di mahkamah awal pagi tadi untuk prosiding permohonan reman mereka.

Kedua-dua lelaki itu dibawa secara berasingan ke mahkamah, dalam keadaan bergari dan memakai pakaian lokap SPRM berwarna jingga.

Shamsul dilihat berdiam diri ketika berjalan menuju ke mahkamah manakala Tei beberapa kali melaung.

"Inilah akibat melawan pemimpin tertinggi. Siapa lagi berani mendedahkan salah laku pemimpin tertinggi.

"Memalukan negara ini,” kata Tei.

Semalam, SPRM menahan Shamsul, Tei dan Sofia Rini Buyong berhubung siasatan dakwaan rasuah melibatkan lesen prospek perlombongan di Sabah.

Shamsul dan Sofia Rini ditahan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya selepas memberikan keterangan manakala Tei diberkas di rumahnya di Puchong.

Suruhanjaya antirasuah itu memperoleh perintah reman empat hari terhadap Sofia, yang didakwa sebagai proksi Shamsul, daripada Mahkamah Majistret Putrajaya semalam.

‘Dapat jumpa Tei hanya lepas majistret masuk campur’

Dalam sidang media kemudiannya, peguam Tei, Mahajoth Singh menyuarakan rasa kecewa apabila dia hanya dibenarkan bertemu anak guamnya selepas majistret campur tangan pagi ini.

Katanya, hanya selepas kebenaran majistret baru mereka mengetahui yang Tei disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM, iaitu berhubung kesalahan meminta atau menerima serta memberi atau menawarkan suapan.

“Saya kehilangan kata-kata bagaimana kelakuan pegawai SPRM.

“Akhirnya, kami perlu buat permohonan dan majistret benarkan kami. Kami ada hak untuk berbincang dengan anak guam,” katanya.

Turut hadir Pengarah Lawyers for Liberty, Zaid Malek.

maha

Mahajoth Singh

Mahajoth turut membidas SPRM kerana menyatakan Tei tidak memberi kerjasama, yang membawa kepada serbuan di rumah ahli perniagaan itu semalam.

Katanya, Tei dan SPRM telah bersetuju untuk dia hadir ke pejabat SPRM pada 1 Disember.

“Pegawai SPRM (di mahkamah) malah kata saya tidak beri kerjasama. Jadi, saya terpaksa tunjuk mesej WhatsApp yang saya ada meminta namanya, nombor pengenalan dan sebab dia hubungi saya…yang merupakan amalan biasa,” katanya lagi.

Berkenaan serbuan semalam, Mahajoth mendakwa pegawai SPRM memaksa Tei untuk menandatangani notis, sambil mengacu pistol ke arah kepalanya.

“Dia katakan perkara itu di mahkamah, ia telah direkod. Jika saya datang kepada kamu, acu pistol dan kata tanda tangan, adakah kamu akan tanda tangan?

“Pastilah ya, saya pun akan tanda tangan (apabila) pistol diacu kepada saya,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS