Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO bidas serbuan ke atas pusat kesihatan ‘gay’ di KL
Diterbitkan:  Nov 29, 2025 2:43 PM
Dikemaskini: 9:49 AM

Sebuah NGO yang memperjuangkan hak komuniti LGBTIQ+ hari ini mengecam tindakan pihak berkuasa menyerbu sebuah premis di Kuala Lumpur malam tadi, yang menyaksikan 201 individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti “gay”.

Justice for Sisters (JFS) berkata operasi melibatkan polis, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu bersifat diskriminasi kerana menyasarkan sebuah “pusat kesihatan” semata-mata berdasarkan golongan yang mengunjunginya.

Kumpulan itu turut mengecam kenyataan polis bahawa tindakan tersebut dilakukan susulan aduan orang awam.

“Kami menolak sekeras-kerasnya idea bahawa polis terpaksa bertindak kerana aduan awam. Penting untuk polis menilai unsur prejudis dalam aduan tersebut, memandangkan tahap diskriminasi terhadap komuniti LGBTQ di Malaysia amat membimbangkan.

“Apabila negara melakukan serbuan dan tangkapan terhadap LGBTQ berdasarkan aduan yang bersifat prejudis, negara sebenarnya mengesahkan diskriminasi dan membiarkan budaya impunity serta pemangsaan terhadap komuniti LGBTQ berterusan.

“Serbuan itu sememangnya bersifat diskriminasi kerana pusat kesihatan itu disasarkan kerana pelanggannya, yang merupakan atau dianggap sebagai gay, biseksual dan queer (GBQ) serta lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki (MSM),” katanya.

Menurut laporan media, pihak berkuasa menahan 201 lelaki berusia antara 19 hingga 60 tahun yang berada di fasiliti tersebut di Jalan Raja Laut selepas menerima maklumat awam dan menjalankan pengawasan selama dua minggu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Mohd Azani Omar dipetik BH Online berkata risikan mendapati terdapat “aktiviti tidak bermoral” di premis tersebut melibatkan lelaki gay.

Mereka yang ditahan termasuk 80 lelaki beragama Islam serta warga asing dari Korea Selatan, Indonesia, Jerman dan China, katanya seperti dilaporkan.

JFS turut mengecam tindakan pihak berkuasa menjemput wartawan ke lokasi serbuan, yang menurutnya mengakibatkan pelanggaran privasi tahanan.

“Selain itu, serbuan ini bertentangan sama sekali dengan usaha kerajaan untuk menamatkan HIV menjelang 2030 di Malaysia.

“Pusat kesihatan seperti yang diserbu itu adalah kritikal dalam menyediakan ruang selamat untuk orang ramai bukan sahaja bersenam dan bergaul, tetapi juga mendapatkan maklumat kesihatan,” kata kumpulan itu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS