Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images

LANGSUNG | Pusat mengundi ditutup dan tiba masanya untuk pengiraan undi bagi pilihan raya negeri (PRN) Sabah 2025.

Malaysiakini membawakan anda maklumat terkini secara langsung.


3.05 am - Pengerusi GRS, Hajiji Noor mengangkat sumpah jawatan ketua menteri Sabah di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Musa Aman di Istana Seri Kinabalu.


2.03 am - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan keputusan rasmi pilihan raya negeri Sabah.

GRS secara rasmi memenangi 29 kerusi, manakala Warisan memperoleh 25 kerusi.

Walaupun tiada pihak yang mencapai bilangan kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri secara bersendirian, kedua-duanya berada dalam kedudukan untuk membentuk gabungan kerajaan.

Namun, GRS dilihat berada di kedudukan yang lebih selesa, dengan Hajiji Noor dijangka akan mengangkat sumpah jawatan ketua menteri Sabah.


1.40 am - Hajiji Noor tiba di kediaman rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah.

Difahamkan bahawa dia mungkin telah mendapat sokongan daripada 5 Adun bebas. Ini membolehkannya mempunyai sokongan 38 kerusi termasuk dari PH dan Upko — satu kerusi lebih daripada majoriti mudah.


1.28 am - Pengerusi GRS, Hajiji Noor meninggalkan kediaman rasminya dan dipercayai sedang menuju ke istana negeri.


1.20 am - Menurut pembantu Ewon Benedick, pemimpin UPKO sedang bergerak menuju kediaman Yang di-Pertua Negeri Sabah untuk membentuk kerajaan bersama GRS dan PH.

Ketiga-tiga parti itu memiliki jumlah 33 kerusi – hanya kurang empat kerusi untuk membentuk majoriti mudah.


12.50 am -Terdapat kerusi berubah kedudukannya apabila keputusan rasmi diumumkan yang berbeza dengan keputusan awal.

Kerusi Usukan dimenangi calon Warisan, Isnaraissah Munirah Majilis, menewaskan calon BN, Salleh Said Keruak dengan majoriti 442 undi.

Warisan juga diumumkan secara rasmi memenangi kerusi Bongawan, dan bukannya Mohamad Alamin dari BN.


12.20 pm: Parti Star dan Upko, dua parti berasaskan Sabah yang mempunyai hubungan tegang dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan sekutunya PH, sedang mempertimbangkan langkah seterusnya.

Presiden Star, Jeffrey Kitingan, yang meninggalkan GRS kerana kecewa dengan pendekatan gabungan itu terhadap PH, sedang “memikirkan” sama ada partinya akan menyertai kerajaan GRS.

Star hanya memenangi satu daripada 46 kerusi yang ditandingi dan boleh membantu melengkapkan 37 kerusi yang diperlukan bagi GRS membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Apabila ditanya tentang hal itu, Jeffrey hanya menjawab: “Thinking away.”

Sementara itu, pemimpin veteran Upko, Wilfred Madius Tangau, memberitahu Malaysiakini bahawa parti itu, yang memenangi tiga kerusi, akan membuat keputusan malam ini sama ada akan menyertai kerajaan GRS-PH.

Upko meninggalkan PH sebelum pilihan raya kerana tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan persekutuan merayu keputusan mahkamah tinggi berhubung hak Sabah terhadap 40 peratus hasil negeri.


12.03 am - Warisan tidak menolak kemungkinan bentuk kerajaan campuran.

Menurut Oriental Daily, timbalan presiden parti, Junz Wong, berkata walaupun mereka tidak dapat membentuk kerajaan sendiri, mereka masih mempunyai "Pelan B".

“Kami masih mempunyai Pelan B, dan kami akan berbincang (dengan parti lain). Jika kami tidak berada dalam kerajaan, ia akan menjadi sangat sukar untuk membantu rakyat dan kami tidak akan dapat menyelesaikan masalah mereka.

“Ini adalah pandangan peribadi saya, dan ia masih perlu dibincangkan dengan presiden serta timbalan presiden. Kami akan duduk bersama tidak lama lagi untuk berbincang dan melihat apa yang perlu dilakukan,” katanya kepada media di Kota Kinabalu.


12 am – Ketua Menteri sementara Sabah, Hajiji Nor, dilihat bersiap sedia untuk dipanggil dan mengangkat sumpah bagi penggal kedua.

Hajiji tiba di kediaman rasminya pada jam 11.50 malam, memakai baju Melayu hitam, pakaian rasmi ketika menghadap Yang di-Pertua Negeri di istana negeri.

Namun begitu, Hajiji belum boleh mengangkat sumpah kerana keputusan rasmi belum diterima sepenuhnya.


11.30 pm - Semua 73 kerusi telah dikira berdasarkan keputusan tidak rasmi daripada GRS.

Namun, jumlah muktamad masih tertakluk kepada perubahan setelah keputusan rasmi diumumkan.

Pada masa ini, GRS berada di landasan untuk memenangi 29 kerusi, manakala Warisan 23 kerusi.

PKR yang pada awalnya dilaporkan memenangi dua kerusi, kini hanya memenangi satu kerusi. Ini bermakna parti itu tewas 12 daripada 13 kerusi yang ditandinginya.

Dengan ketiadaan pemenang mutlak, kini terpulang kepada dua parti yang memperoleh kerusi terbanyak untuk membentuk gabungan.

PKR telah menyatakan bahawa parti itu dan GRS mempunyai cukup jumlah kerusi untuk membentuk kerajaan, tetapi ini bergantung keputusan parti lain daripada Star, Upko, KDM dan calon bebas untuk memilih parti mana yang mereka akan sokong.


11.45 pm - Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan gabungan itu bersedia untuk bekerjasama dengan parti-parti yang sehaluan bagi membentuk kerajaan baru demi kestabilan politik Sabah, susulan keputusan pilihan raya negeri.

"BN menyeru seluruh rakyat Sabah untuk mengekalkan keamanan, perpaduan dan rasa hormat terhadap proses demokrasi yang sedang berlangsung.

"Perjalanan Negeri Sabah ke hadapan memerlukan iltizam semua pihak, dan BN akan terus memainkan peranan yang konstruktif bagi memastikan negeri ini terus melangkah ke arah kemajuan dan kemakmuran," katanya dalam kenyataan.

BN memenangi lapan daripada 45 kerusi yang ditandingi. Umno menampilkan calon di 41 kawasan, manakala MCA dan PBRS masing-masing di dua kerusi.


11.20 pm - Yamani Hafez Musa yang merupakan anak kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman, tewas di kerusi DUN Sindumin berdasarkan keputusan rasmi.

Keputusan tidak rasmi sebelum ini menunjukkan Yamani yang mewakili PKR menang di kerusi tersebut. Namun, keputusan rasmi menunjukkan sebaliknya apabila Warisan memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis 362 undi.

Ini menjadikan PKR hanya memenangi satu kerusi sahaja iaitu Melalap berdasarkan keputusan rasmi.


10.50 pm - Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Hajiji Noor, dilaporkan akan mengangkat sumpah bagi penggal baru sebagai ketua menteri malam ini.

FMT yang memetik sumber melaporkan perkara itu sedang diatur.

Namun begitu, dengan hanya satu kerusi lagi belum diumumkan, keadaan tidak semudah yang disangka.

Warisan yang memperoleh 20 kerusi boleh membentuk kerajaan sekiranya berjaya meyakinkan BN (9), Upko (3), Star (2), KDM (1), dan lima calon bebas untuk menyokongnya berbanding GRS.

Jumlah itu akan memberikan Warisan 40 kerusi.

Bagaimanapun, Presiden Warisan Shafie Apdal berada dalam kedudukan kurang selesa berikutan hubungan yang tegang dengan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman.

Pada 2018, Shafie berjaya mengatur tindakan lompat parti untuk menggagalkan usaha Musa menjadi ketua menteri, manakala Musa pula cuba melakukan perkara yang sama terhadap Shafie pada 2020.


10.26 pm - Walaupun PKR kelihatan bakal menjadi sebahagian daripada kerajaan Sabah yang akan datang, prestasi pilihan rayanya malam ini tidak begitu baik.

Daripada 13 kerusi yang ditandinginya, PKR tewas di sembilan kerusi - termasuk di Api-Api, salah satu daripada dua kerusi yang dimenanginya dalam pilihan raya negeri 2020.

Tulid, Petagas, dan Bandau dimenangi oleh calon bebas, manakala enam kerusi lain yang menyaksikan PKR tewas setakat ini telah dimenangi oleh Warisan.

Di Silam, calon PKR telah menarik diri daripada saingan selepas mengemukakan pencalonannya. Memandangkan Suruhanjaya Pilihan Raya tidak membenarkan penarikan diri, calon PKR masih kekal dalam undi.

PKR telah memenangi dua kerusi, Sindumin dan Melalap manakala dua kerusi lain Inanam dan Moyog masih belum diisytiharkan.


10.25 pm- PAS mendakwa parti itu mencipta sejarah apabila memenangi kerusi pertamanya di Sabah.

Ketua penerangannya Ahmad Fadhli Shaari berkata parti itu memenangi kerusi Karambunai dengan majoriti tipis 371 undi.

"Alhamdulillah PAS telah melahirkan 'anak sulung' di Sabah"," tulis Fadhli di laman Facebooknya.


9.51 pm - Sebanyak 61 kerusi telah dikira setakat ini, dengan GRS kini berada dalam kedudukan untuk membentuk kerajaan tanpa BN.

GRS memenangi 29 kerusi dan bersama PH (2), Star (1), KDM (1), serta empat calon bebas, gabungan itu memperoleh 37 kerusi — cukup untuk membentuk majoriti mudah di Dewan Undangan Negeri.

Dalam sidang media, Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh berkata PH sudah mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan gabungan dengan GRS.

Dia berkata Pengarah Operasi Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat (JPRP) PKR, Amirudin Shari, telah bertemu dengan pengerusi GRS, Hajiji Nor, untuk membincangkan perkara tersebut.


9.50 pm: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Jeffrey Kitingan, berjaya mempertahankan kerusinya di Tambunan.

Star sebelum ini menarik diri daripada GRS susulan kerjasama dengan PH.

Jeffrey merupakan antara ahli politik yang dikaitkan dengan skandal perlombongan yang didedahkan oleh ahli perniagaan, Albert Tei.

Ini merupakan penggal keempat bagi ahli politik veteran itu, yang pernah digelar sebagai “katak politik” di Sabah.


9.40 pm: GRS memaklumkan perkembangan terkini berdasarkan kiraan tidak rasmi bahawa kerusi Paginatan kini milik Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

Terdahulu, GRS memaparkan kerusi tersebut dimenangi gabungan itu.

Sementara itu, pemangku presiden KDM, Priscella Peter, tewas dalam perebutan kerusi Melelap kepada calon PKR, Jamawi Ja'afar.

Dia bertanding menggantikan ayahnya yang menyandang kerusi tersebut selama dua penggal sebelum disabitkan atas kesalahan rasuah dan dipenjarakan awal tahun ini.

Bapanya, bekas menteri Sabah, Peter Anthony, memenangi kerusi itu di bawah tiket Warisan pada pilihan raya negeri yang lalu namun kemudian keluar daripada parti itu untuk menubuhkan KDM.


9.30 pm – Ini merupakan malam yang suram untuk PN.

Daripada 42 kerusi yang ditandingi, gabungan itu tewas di 33 kerusi setakat ini. Ini termasuk Sugut, di mana Pengerusi PN Sabah, Ronald Kiandee, tewas kepada James Ratib dari GRS.

Keputusan bagi sembilan lagi kerusi yang mereka tandingi masih dalam proses pengiraan.


9.26 pm: PKR memenangi dua kerusi untuk PH, berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat ini, manakala DAP tewas di semua lapan kerusi yang ditandinginya.

Kerusi PKR dimenangi oleh Yamani Hafez Musa di Sindumin dan Jamawi Ja’afar di Melalap. Kedua-duanya mempunyai sejarah keluar masuk parti.

Sementara itu, PKR tewas di Merotai kepada Warisan. Calon PKR, Ruji Ubi, sebelum ini disebut-sebut sebagai bakal calon ketua menteri. Terdahulu dilaporkan bahawa kerusi itu dimenangi PN.

Sementara itu Shafie dan adiknya, Yusof Apdal daripada Warisan menang kerusi masing-masing di Senallang dan Silam.


9.14 pm - Setelah 52 kerusi yang diumumkan secara tidak rasmi, GRS kini berada dalam kedudukan untuk membentuk kerajaan tanpa Warisan.

GRS, dengan 23 kerusi, boleh membentuk kerajaan bersama BN (9), PH (2), Upko (1), Star (1) dan tiga calon bebas, yang keseluruhannya berjumlah 38 kerusi – lebih daripada majoriti mudah yang diperlukan.

Namun, ini memerlukan GRS dan BN untuk berdamai.

Jika parti-parti bukan GRS yang lain bergabung dengan Warisan, mereka masih kekurangan lapan kerusi untuk mencapai majoriti mudah setakat ini.


9.10 pm - Dalam perkembangan yang mengejutkan, kiraan undi GRS kini menunjukkan bahawa Pandikar Amin Mulia tewas di Pintasan kepada penyandang kerusi itu, Fairuz Renddan – yang bertanding sebagai calon bebas.

Terdahulu, Bernama melaporkan bahawa Pandikar memenangi kerusi tersebut berdasarkan keputusan tidak rasmi.


9 pm - Pengerusi DAP Sabah, Phoong Jin Zhe berkata dia menerima hakikat bahawa parti itu telah tewas di Sabah.

Menurutnya, keputusan ini mencerminkan kekecewaan rakyat Sabah terhadap DAP.

"Kepada semua rakyat Sabah, saya dengar suara kekecewaan anda. DAP Sabah akan buat postmortem secepat mungkin.

"Kekalahan ini ialah satu peringatan penting, namun kami akan terus berjuang," katanya di Facebook.


9.14 pm - Setelah 52 kerusi diumumkan secara tidak rasmi, GRS kini berada dalam kedudukan untuk membentuk kerajaan tanpa Warisan.

GRS, dengan 23 kerusi, boleh membentuk kerajaan bersama BN (9), PH (2), Upko (1), Star (1) dan tiga calon bebas, yang keseluruhannya berjumlah 38 kerusi – lebih daripada majoriti mudah yang diperlukan.

Namun, ini memerlukan GRS dan BN untuk berdamai.

Jika parti-parti bukan GRS yang lain bergabung dengan Warisan, mereka masih kekurangan lapan kerusi untuk mencapai majoriti mudah setakat ini.


8.40pm - Lebih separuh daripada 73 kerusi telah diumumkan secara tidak rasmi setakat ini.

Secara teorinya, GRS (21 kerusi), Warisan (11), Barisan Nasional (5), UPKO (1), dan dua calon bebas boleh membentuk kerajaan kerana mereka mempunyai 40 kerusi keseluruhannya. Kira-kira 37 kerusi diperlukan untuk majoriti mudah di dewan undangan negeri.

Namun, ini tidak mungkin berlaku kerana parti-parti tersebut pada mulanya menyatakan bahawa mereka tidak akan bekerjasama antara satu sama lain.


8.39 pm - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan teruk parti itu yang menyaksikan ia gagal mengekalkan sebarang kerusi.

Dalam satu catatan Facebook, Loke berkata DAP menerima dan menghormati keputusan pengundi di semua lapan kawasan yang ditandinginya.

“Pucuk pimpinan parti akan mengambil iktibar daripada keputusan ini dan menilai semula segala kelemahan kami serta berusaha untuk memenangi semula sokongan rakyat pada pilihanraya akan datang.

"DAP Sabah masih mempunyai 2 wakil di peringkat Parlimen dan kedua-dua Ahli Parlimen DAP akan melipatgandakan usaha dan gerak kerja mereka di kawasan Kota Kinabalu dan Sandakan," tambahnya.


8.33 pm - Satu-satunya calon Amanah dari PH, Zulfikar Mijan, tewas di kerusi Sulabayan kepada calon Warisan, Jaujan Sambakong.

Jaujan merupakan penyandang kerusi tersebut.


8.30 pm – GRS memaklumkan kerusi Kukusan dimenangi oleh seorang calon bebas.

Menurut sumber, bekas Ahli Parlimen Putatan, Awang Hussaini Sahari, tewas kepada abangnya sendiri, Awang Ahmad Sah Awang Sahari, yang bertanding sebagai calon bebas.

Awang Ahmad Sah sebelum ini memenangi kerusi tersebut pada 2020 di bawah tiket Warisan.

Sementara itu, GRS juga memaklumkan kerusi Kukusan dimenangi seorang calon bebas, tetapi masih tidak jelas calon bebas yang mana daripada dua calon yang bertanding.


8.29 pm: PKR tewas di Petagas.

GRS menandakan kerusi itu dimenangi oleh seorang calon bebas.

Menurut sumber, bekas Ahli Parlimen Putatan, Awang Hussaini Sahari tewas kepada abangnya dan penyandangnya, Awang Ahmad Sah - yang bertanding sebagai calon bebas.

Awang Ahmad Sah sebelum ini memenangi kerusi itu pada tahun 2020 di bawah tiket Warisan.


8.21 pm- Bekas menteri kabinet, Anifah Aman, tewas dalam usahanya merebut kerusi DUN Bongawan.

Anifah yang bertanding di bawah tiket Gabungan Rakyat Sabah tewas kepada Mohamad Alamin dari BN.

Kerusi tersebut sebelum ini dimenangi oleh Warisan pada Pilihan Raya Negeri Sabah 2020.


8.05 pm - Berdasarkan keputusan tidak rasmi, isteri Pandikar Amin Mulia, Diana Diego, tewas dalam usaha merebut kerusi DUN Sekong.

Diana, yang bertanding di bawah tiket Gabungan Rakyat Sabah tewas kepada Mohd Zharif Aizat Samsudin dari BN.

Kerusi itu sebelum ini dimenangi oleh Warisan pada Pilihan Raya Negeri Sabah 2020.


7.52 pm: Ini adalah beberapa nama besar yang menang dan kalah. Ketua Menteri sementara, Hajiji Noor, yang mengetuai Gabungan Rakyat Sabah, Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin, bekas Ketua Menteri Sabah, Salleh Said Keruak (BN) dan Presiden Upko, Ewon Benedick, berjaya mempertahankan kerusi yang mereka tandingi.

Mereka yang tewas antaranya Pengerusi DAP Sabah, Phoong Jin Zhe dan rakan seperjuangannya, Chan Foong Hin, yang merupakan timbalan menteri persekutuan.


7.41 pm – Arifin Arif yang merupakan menantu Yang di-Pertua Sabah, Musa Aman, menang di Membakut, berdasarkan keputusan tidak rasmi yang dilaporkan Bernama.

Arifin merupakan antara individu berprofil tinggi yang didakwa oleh ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei, terlibat dalam skandal lesen cari gali mineral di Sabah.


7.40 pm - DAP tewas di kesemua lapan kerusi yang ditandinginya.

Di Kapayan, penyandangnya, Jannie Lasimbang tewas kepada Warisan berdasarkan keputusan tidak rasmi daripada GRS.

Kekalahan DAP menandakan masalah bagi Pakatan Harapan.

Walaupun keputusan bagi kerusi PKR masih belum diumumkan, perkembangan setakat ini menunjukkan bahawa pakatan yang diusahakan oleh Pengerusi PH, Anwar Ibrahim — bagi mendapatkan sokongan GRS dan BN — tidak diterjemahkan kepada undi yang mencukupi untuk memastikan PH terus bertahan.


7.30 pm - Keputusan tidak rasmi menunjukkan Presiden Upko Ewon Benedick menang di Kadamaian, lapor Bernama.

Bekas pengerusi Pakatan Harapan Sabah itu meninggalkan kabinet selepas tidak bersetuju dengan kerajaan berhubung isu Perjanjian Malaysia 1963. Kadamaian mempunyai bilangan pengundi seramai 26,240 orang.


7.20 pm - Pengerusi DAP Sabah, Phoong Jin Zhe, dijangka tewas di Likas.

Menurut keputusan tidak rasmi daripada DAP sendiri, Phoong ketinggalan dengan kira-kira 1,900 undi manakala Warisan mempunyai 3,500 undi.

Dari segi peratusan, Warisan mempunyai kira-kira 59 peratus undi setakat ini, dan Phoong dijangka tidak mampu mengejar.


7.17 pm - Seorang lagi anak Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah Musa Aman, Hazem Mubarak Musa, mendahului pengiraan awal di Sungai Manila.

Hazem, yang mewakili GRS, memperoleh 329 undi setakat ini, dengan Zaini Tiksun dari BN mengekor rapat dengan 266 undi. Kerusi itu menghadapi pertandingan enam penjuru dan mempunyai 18,217 pengundi berdaftar.


7.10 pm - Keputusan tidak rasmi daripada GRS menunjukkan DAP tewas di enam kerusi - Luyang, Tanjung Aru, Kemabong, Elopura, Tanjong Papat, dan Sri Tanjong.

GRS mengisytiharkan kemenangan untuk Kemabong, manakala lima kerusi lain semuanya dikatakan dimenangi oleh Warisan.

Sementara itu, keputusan DAP sendiri menunjukkan Pengerusi DAP Sabah Phoong Jin Zhe ketinggalan dengan 1,600 undi berbanding lebih 3,000 undi untuk Warisan dalam keputusan awal.


7.05 pm - DAP kemungkinan akan gagal dalam misinya untuk menawan semula Sri Tanjong berdasarkan keputusan tidak rasmi.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi DAP sendiri, dengan hampir 40 peratus undi yang layak dikira, parti itu ketinggalan dengan sekitar 5,000 undi.

Penyandang dari Warisan, Justin Wong, mendahului dengan 7,400 undi, iaitu kira-kira 53 peratus undi yang dikira setakat ini.


7.02 pm: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah Ronald Kiandee ketinggalan di Sugut dengan 700 undi berbanding calon GRS James Ratib.


7.00 pm - Di Luyang, pengganti pengerusi DAP Sabah, Phoong Jin Zhe, Chan Loong Wei sedang bergelut mempertahankan kerusi itu.

Warisan mendahului dengan lebih 3,300 undi setakat ini, manakala Chan mempunyai hampir 1,700 undi. SAPP berada di tempat ketiga dengan sekitar 600 undi.


6.55 pm: Bernama mengisytiharkan ketua menteri sementara Hajiji Noor secara tidak rasmi mengekalkan kerusi Sulaman bagi GRS.


6.48 pm: Menurut Bernama, Bung Moktar Radin secara tidak rasmi mengekalkan kerusi Lamag untuk BN. Dia memenangi kerusi itu pada pilihan raya Sabah 2020.


6.41 pm: Bernama mengisytiharkan bahawa Pandikar Amin Mulia telah memenangi Pintasan, mengikut pengiraan tidak rasmi. Bekas Speaker Dewan Rakyat itu bertanding di bawah panji Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menentang 10 calon lain.


6.40 pm - Seorang lagi Ahli Parlimen DAP sedang bergelut dalam pengiraan undi awal.

Di Tanjung Aru, Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin ketinggalan di belakang penyandang, Naib Presiden Warisan, Junz Wong.

Dengan 10 peratus undi yang dikira, Wong mendahului dengan sekitar 1,000 undi manakala Chan hanya mempunyai kira-kira 400 undi.


6.30 pm - DAP berdepan cabaran sengit untuk menawan semula Sri Tanjong. Penyandang kerusi itu Justin Wong juga telah berpaling tadah ke Warisan pada 2022.

Dengan kira-kira 16 peratus undi dikira, Wong mendahului dengan kira-kira 3,300 undi manakala pencabarnya dari DAP Philip Yap meraih sekitar 2,000 undi.


6.30 pm - Anak Tuan Yang Terutama Sabah dan bekas timbalan menteri kewangan negeri, Yamani Hafeez Musa, yang bertanding di bawah panji Pakatan Harapan, mendahului di Sindumin, dengan Yusri Pungut dari Warisan berada di belakang. Yamani memperoleh 108 undi, dengan hanya 215 undi dikira setakat ini.


6.25 pm: - Di Elopura, Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong, bakal berdepan persaingan sengit untuk merampas semula kerusi itu bagi DAP.

Dengan kira-kira 8 peratus undi sudah dikira, penyandang Calvin Chong, yang keluar dari DAP dan menyertai Warisan pada 2022, mendahului dengan lebih 1,600 undi, manakala Wong mempunyai sekitar 1,100 undi.

Calon KDM meraih lebih 600 undi setakat ini.


6.15 pm - Di Pintasan, bekas speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia bersaing sengit dengan penyandang Fairuz Renddan, yang bertanding sebagai calon bebas.

Pandikar mempunyai 214 undi setakat ini, sementara Fairuz 177 undi. Calon Warisan rapat di belakang dengan kira-kira 100 undi.


6.00 pm: Setakat jam 4 petang, kadar keluar mengundi adalah 60 peratus, menurut SPR.

Sementara itu, keputusan tidak rasmi mula masuk

Di Kemabong, yang menyaksikan DAP, BN dan GRS bersaing dalam pertandingan sembilan penjuru, dengan kira-kira 5 peratus undi dikira, pengiraan undi awal menyaksikan penyandang GRS dan calon PH bersaing sengit, masing-masing dengan 446 dan 434 undi.

Sementara itu, BN baru meraih 168 undi setakat ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS