Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa, hari ini mengumumkan lima insentif baru yang bakal memanfaatkan penduduk terlibat dalam projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.
Menurut Zaliha, pakej tambahan itu dicapai selepas pihak kementerian mengusulkan penambahbaikan kepada pemaju projek, KL City Gateway, bagi memastikan penduduk menerima pulangan yang lebih adil.
Mengumumkan butiran tersebut, Zaliha berkata pemaju bersetuju memberikan satu ruang parkir tambahan kepada setiap pemilik rumah serta caj penyelenggaraan percuma untuk tahun pertama selepas projek siap.
“Pihak pemaju juga telah bersetuju untuk menanggung maintainence fee dan dana penampan sebanyak 70 peratus bagi tahun kedua hingga tahun kesepuluh. Komitmen ini adalah bernilai sehingga RM4 juta.

“Pemaju juga bersetuju untuk menyediakan kelengkapan tambahan rumah berbentuk aircond, hud dan dapur masak bernilai keseluruhan sehingga RM2juta.
“Terakhir, pemaju turut bersetuju untuk menanggung kos pembinaan berjumlah RM15 juta untuk menghubungkan Kampong Bharu amnya, dan Kampung Sungai Baru khasnya dengan akses terus ke Lebuhraya Akleh,” katanya.
Pengumuman itu dibuat ketika majlis pecah tanah projek berkenaan, turut dihadiri Pengarah KL City Gateway Abdul Hadi Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar serta Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik Harta Kampung Sungai Baru, Sanita Yunus.

Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru sebelum ini dilanda kontroversi selepas terdapat bantahan sekumpulan penduduk.
Zaliha menjelaskan sejak dia menerajui portfolio Wilayah Persekutuan, dia memilih pendekatan rundingan menyeluruh dengan semua pihak untuk menyelesaikan isu legasi itu.
Katanya dia telah bertemu dengan tiga kumpulan penduduk dikenal pasti — mereka yang bersetuju sepenuhnya, mereka yang bersetuju tetapi mempertikai pampasan dan mereka yang menolak projek sepenuhnya.
Selepas sesi libat urus, Zaliha menegaskan kerajaan perlu berlaku adil dan meneruskan pembangunan semula bagi memastikan hak penduduk tidak terus tergantung.

"“Selepas mendengar ketiga-tiga pihak dan saya perlu saksama, iaitu untuk meneruskan pembangunan semula di Kampung Sungai Baru.
“Menjadi kekesalan saya adalah, hak penduduk yang bersetuju ini sehingga kini masih belum lagi tertunai.
“Apa hak mereka? Hak mereka adalah untuk mereka kembali semula ke tanah milik mereka di Kampung Sungai Baru ini dan memiliki rumah yang telah dijanjikan oleh pemaju kepada mereka hampir 10 tahun yang lalu.
“Ada antara mereka yang telah pun meninggal dunia dan tidak sempat menikmati hak mereka. Ini cukup saya kesalkan,” kata Zaliha lagi.
Menurut Zaliha, pemaju telah memberikan komitmen untuk menyiapkan projek tersebut dalam tempoh empat tahun bermula sekarang.

