Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini berkata kerajaan Madani menghormati sepenuhnya kehendak pengundi Sabah, yang menurutnya telah menyampaikan tuntutan jelas untuk perubahan melalui pilihan raya negeri semalam.
Kenyataan itu hadir susulan gabungan PH yang dipimpinnya mengalami kekalahan besar dalam pilihan raya tersebut — namun masih menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri baru di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS), parti berasaskan Sabah yang dipimpin Ketua Menteri Hajiji Noor.
Anwar berkata pentadbirannya akan terus konsisten dalam usaha reformasi bagi memperbaiki keadaan Sabah.
“Kerajaan Madani menghormati sepenuhnya mesej tegas dan jelas yang telah dilontarkan para pengundi di Sabah, bahawa mereka menuntut perubahan yang nyata setelah sekian lama dihadapkan dengan ketidakadilan dan pengabaian oleh hampir semua parti sama ada dari Semenanjung mahupun Sabah sendiri.

"Alhamdulillah, dalam tiga tahun yang lalu, kami berusaha merungkai setiap isu yang diwarisi, termasuk soal tuntutan dan hak yang menyentuh kepentingan Sabah.
“Dalam tempoh singkat ini, beberapa kemajuan yang nyata telah dicapai berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Justeru itu, Kerajaan Madani akan terus konsisten di jalur pembaharuan ini sebagai usaha dan upaya kita melahirkan sebuah Sabah yang adil, saksama, makmur dan tidak lagi dipinggirkan.
"Suara rakyat Sabah adalah amanah yang mesti kita junjung dengan sikap pertanggungjawaban yang tinggi,” katanya.

Perdana menteri turut mengucapkan tahniah kepada Hajiji atas mandat baru untuk menerajui negeri itu.
Pilihan raya negeri Sabah ke-17 yang berakhir semalam menyaksikan GRS — parti berasaskan Sabah — mengekalkan penguasaan mereka di negeri di bawah bayu itu manakala parti-parti Semenanjung hampir 'lenyap'.
Ini termasuk PH yang mengalami kekalahan besar, hanya menang satu dari 73 kerusi DUN.
DAP, parti komponen PH tewas di semua lapan kerusi yang ditandingi, termasuk enam kerusi yang dimenanginya dengan majoriti besar pada pilihan raya 2020.

PKR, yang dipimpin Anwar, bertanding di 12 kerusi tetapi hanya menang satu kerusi melalui calon Melalap, Jamawi Jaafar, yang merupakan bekas ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan).
BN Sabah yang menyasarkan untuk menewaskan GRS dan Warisan di kerusi majoriti bumiputera Islam hanya menang enam dari 45 kerusi yang ditandingi.
PN pula, yang meletakkan calon di 42 kerusi hanya meraih satu DUN namun ia kemenangan bersejarah buat PAS di Karambunai.
