Serbuan besar-besaran terhadap sebuah kelab kesihatan yang dipercayai menjadi lokasi aktiviti seksual songsang di Chow Kit pada malam kelmarin (28 Nov) kini berakhir tanpa tindakan lanjut terhadap majoriti warga tempatan yang ditahan dan penganjur premis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus menjelaskan permohonan reman terhadap 171 warga tempatan ditolak majistret kerana lewat dikemukakan.
“Sebab apa (lewat), tangkapan ramai. Proses nak dibuat satu per satu untuk dikelaskan. Permohonan reman lambat dibuat dan majistret tolak.
"Kita dapat reman warga asing saja (selama) dua hari,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar.
Tiada bukti kukuh
Menurut Fadil, meskipun kes disiasat di bawah Seksyen 377 dan 372 Kanun Keseksaan, pihak polis berdepan jalan buntu.
“...tiada bukti yang boleh membantu pihak polis menjalankan siasatan ke arah perkara tersebut,” katanya.
Seksyen 377 merujuk kepada pelbagai kesalahan berkaitan hubungan seks luar tabii manakala Seksyen 372 pula merujuk kesalahan pelacuran.
Fadil turut mengakui penganjur premis masih bebas dan sukar dikenakan tindakan.
“...penganjur dia nampak macam 'still at large' (masih bebas). Kita tak boleh nak serang.
Lepas itu, kita tak boleh nak tuduh mereka ini dari sudut undang-undang yang ada sekarang.”
Masalah utama, kata Fadil adalah ketiadaan mangsa untuk menyokong sebarang dakwaan eksploitasi.
“Sebab setiap kali eksploitasi, pelacuran, ataupun luar tabi'i, mesti ada mangsa tetapi tiada daripada mereka yang nak mengaku jadi mangsa. So, the case is gone (kes tidak diteruskan).”
Fadil menjelaskan aspek penguatkuasaan syariah turut menemui kebuntuan.
“Dari sudut penguatkuasaan undang-undang syariah pula, yang ada di Selangor, di Kuala Lumpur tidak ada.
"Setakat ini kita hanya minta mereka datang untuk diberi ceramah,” katanya.
Dia memberi amaran bahawa tanpa pindaan undang-undang, kes seumpama ini akan terus berulang.
“Apa yang kita lihat kalau kita tak buat pindaan undang-undang, perkara ini akan berlaku bahkan lebih teruk.
"Kami ambil tindakan, tetapi tiada keberhasilan," katanya kesal.
202 individu ditahan, termasuk 17 penjawat awam
Seramai 202 individu, termasuk 31 warga asing dan 17 penjawat awam, ditahan dalam operasi yang digerakkan hasil risikan selama dua minggu.
Menurut Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Mohd Azani Omar, serbuan terhadap premis dipercayai terlibat aktiviti tidak bermoral itu dibuat pada jam 8 malam melibatkan kerjasama KL Strike Force PDRM, Jawi, dan DBKL.
Premis dua tingkat itu dipercayai beroperasi dalam tempoh 8 hingga 10 bulan, dengan waktu operasi bermula jam 5 petang hingga 11 malam pada hari bekerja, dan 3 petang hingga 11 malam pada hujung minggu.
