MIC hari ini menjelaskan bahawa surat yang dihantar kepada PN bukan permohonan rasmi untuk menyertai gabungan itu, sebaliknya bertujuan mendapatkan maklumat awal sebelum parti itu membuat sebarang keputusan.
Setiausaha Agung MIC, S Ananthan, berkata surat berkenaan dihantar empat hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) parti bagi membolehkan MIC memahami dengan lebih mendalam pendirian PN.
“Ia adalah surat untuk mendapatkan penjelasan sebelum penyertaan (MIC dalam PN).
"Kandungannya menumpukan kepada beberapa isu penting, termasuk bentuk keahlian, proses kemasukan, dan kedudukan MIC jika diterima sebagai komponen PN," katanya kepada Malaysiakini.
Ananthan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, yang sebelum ini menyatakan MIC telah mengemukakan permohonan rasmi untuk menyertai gabungan tersebut.
Menurut Ananthan, tindakan menghantar surat itu dibuat selepas beberapa pemimpin PAS — termasuk Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man — mengundang MIC untuk mengadakan pertemuan dan mempertimbangkan penyertaan dalam PN.
Dia turut menjelaskan bahawa MIC meminta penjelasan lanjut mengenai komitmen PN terhadap pembangunan masyarakat India, termasuk isu pendidikan, sosioekonomi dan representasi politik.
"Kami memerlukan maklumat lengkap sebelum membuat keputusan penting mengenai hala tuju parti.
"Kami ingin memastikan sama ada MIC diterima secara automatik atau terdapat syarat tertentu yang perlu dipenuhi.
"Penjelasan ini sangat penting supaya kami boleh membuat keputusan muktamad," kata Ananthan.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan bahawa Muhyiddin mendakwa MIC telah menyerahkan permohonan untuk menyertai PN. Muhyiddin berkata Majlis Tertinggi PN akan meneliti perkara itu dalam mesyuarat pada bulan Disember sebelum membuat keputusan rasmi.
Untuk rekod, AGM MIC tahun ini memutuskan untuk menangguhkan keputusan sama ada parti itu kekal dalam BN atau mempertimbangkan gabungan baru. Perwakilan menyerahkan mandat kepada Presiden MIC, SA Vigneswaran, bersama Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) untuk membuat keputusan.
Dalam sidang media selepas AGM, Vigneswaran menegaskan bahawa keputusan akhir mengenai hala tuju MIC bergantung kepada kepimpinan parti, sambil memberi bayangan bahawa pilihan meninggalkan BN kekal terbuka.
