Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Hanya 16 daripada 73 kerusi atau 21.9 peratus calon dalam pilihan raya negeri Sabah mendapat lebih 50 peratus undi disebabkan banyak kawasan mempunyai ramai calon yang bertanding.

PRN kali ini menyaksikan rekod 596 calon bertanding bagi 73 kerusi, antara jumlah tertinggi setakat ini dalam mana-mana pilihan raya negeri, dengan purata lapan calon bertanding bagi setiap kerusi.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi 29 kerusi diikuti Warisan dengan 25 kerusi, BN (enam), Upko (tiga), Sabah Star (dua), manakala Pakatan Harapan, Perikatan Nasional dan KDM masing-masing memperoleh satu kerusi. Lima calon bebas turut terpilih.

Keputusan ini membolehkan Hajiji daripada GRS mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri untuk penggal kedua.

Namun ketika keputusan dikira pada malam Sabtu, 57 atau 78 peratus daripada semua kerusi dimenangi oleh calon yang memperoleh kurang daripada separuh jumlah undi di kawasan masing-masing.

Daripada 57 kerusi itu, 20 calon menang dengan memperoleh antara 49 hingga 40 peratus undi, 29 calon menang antara 39 hingga 30 peratus undi, dan lapan lagi menang dengan kurang daripada 30 peratus undi. Sebanyak 19 kerusi ditandingi lebih daripada 10 calon.

Calon BN di Bengkoka, Harun Durabi dan calon bebas Maijol Mahap di Bandau memenangi kerusi masing-masing dengan majoriti terendah iaitu 20.96 peratus dan 22.78 peratus.

Calon dengan peratusan kemenangan tertinggi ialah Shafie Apdal daripada Warisan yang memperoleh 79.61 peratus undi di Senallang, diikuti rakan separtinya Jaujan Sambakong yang meraih 74.7 peratus di Sulabayan.

Pesaing utama mereka, Hajiji Noor daripada GRS, meraih 73.63 peratus undi di kubu kuatnya di Sulaman.

Presiden Upko Ewon Benedick dan Presiden Star, Jeffrey Kitingan, turut memenangi kawasan masing-masing iaitu Kadamaian dan Tambunan, dengan lebih 50 peratus undi.

Dari segi parti dan gabungan, 25 daripada 29 kerusi yang dimenangi GRS mendapat kurang daripada 50 peratus undi.

Ini diikuti oleh Warisan dengan 16 kerusi, manakala daripada enam kerusi BN, hanya satu kerusi — Sook — dimenangi dengan lebih daripada 50 peratus undi.

Arthur Joseph Kurup daripada BN menang di kerusi Sook dengan 57.9 peratus undi.

Lebih tiga perempat kerusi Sabah dimenangi oleh calon dan parti yang tidak menerima sokongan majoriti pengundi di sesuatu kawasan dan ini sekali lagi menyerlahkan kelemahan sistem pilihan raya "first-past-the-post" di Malaysia.

Penganalisis politik seperti Dr Wong Chin Huat sebelum ini menyatakan bahawa sistem FPTP tidak sesuai untuk masyarakat majmuk seperti Malaysia yang mempunyai kepelbagaian komuniti.

Wong daripada Universiti Sunway berkata sistem FPTP cenderung disokong oleh kawasan berbilang kaum tunggal (mono-ethnic) di mana calon lebih cenderung bermain politik untuk komuniti mereka sahaja.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS