KOLUM | Seringkali kita tegaskan dengan yakin bahawa bola sepak ialah sejenis sukan rakyat. Selama ini, begitulah yang kita percaya.
Namun jika ditelusuri sejarah di negara ini, bukankah sejak awal lagi bola sepak sebenarnya berada dalam genggaman kelompok feudal yang mengatur segala-galanya dari atas?
Kita menyebut bola sepak sebagai nadi marhaen, tetapi akar yang menyokongnya langsung tidak tumbuh daripada rakyat.
Bola sepak di Malaysia tidak lahir di tangan pekerja, tidak dibentuk oleh komuniti setempat, dan tidak berkembang daripada budaya kota atau kampung. Sebaliknya ia muncul dari hierarki kuasa yang mewarisi cara fikir feudal.
Mungkin di atas padang perlawanan tampak meriah, tetapi di sebalik sorakan, siapa sebenarnya memiliki sukan ini? Rakyat yang memenuhi stadium, atau mereka yang menentukan dasar, belanjawan dan jawatan?
Jika begitu strukturnya sejak awal, patutkah kita hairan apabila penyokong di Malaysia sukar memiliki rasa keterikatan mendalam terhadap kelab yang mereka sokong?
Kita tidak boleh menyamakan akar bola sepak Malaysia dengan negara Eropah dan Amerika Latin.
Identiti kelab-kelab ternama di sana dibentuk oleh sejarah kelas pekerja: kelab yang lahir di kilang pembinaan kapal, di kilang besi, di pelabuhan dan di kawasan perindustrian sebelum membentuk jiwa komuniti setempat.
Di Eropah, kelab bola sepak bukan sekadar pasukan; ia adalah tempat lahirnya identiti kota dan kelas sosial.
‘Perjuangan’ demi maruah
Di England, kelab-kelab terawal lahir di tengah revolusi industri, ketika pekerja lombong, buruh pelabuhan dan juruteknik kilang mencari ruang untuk bernafas selepas menamatkan syif 12 jam.
Manchester United bermula sebagai Newton Heath, kelab pekerja kereta api yang menubuhkan pasukan sendiri kerana tidak diterima dalam kelab elit milik pegawai syarikat.
Arsenal pula lahir dalam kawasan kilang senjata Royal Arsenal di Woolwich, diasaskan oleh pekerja-pekerja yang tinggal di rumah pangsa kelas bawahan.
Liverpool, Everton, West Ham United dan Newcastle United – semuanya lahir dari pelabuhan, limbungan kapal serta komuniti buruh yang menjadikan bola sepak sebagai bahasa solidariti dan maruah kelas pekerja.
Di Itali, kisahnya lebih dramatik dan sarat ideologi. Bola sepak di sana bukan hanya perlawanan, tetapi medan pertentangan politik dan kelas sosial.
Derby Roma – Lazio memisahkan penyokong berideologi kiri dan kanan. Derby Milan memisahkan buruh industri (AC Milan) dan kelas borjuis kota (Inter Milan).
Di Turin, Juventus menjadi simbol keluarga industri kaya Agnelli, manakala Torino menjadi citra kelas pekerja bandar yang bangkit daripada tragedi Grande Torino.
Di Naples pula, bola sepak menjadi perjuangan maruah wilayah selatan menentang stereotaip dan dominasi utara.

Di Argentina, kelab-kelab seperti Boca Juniors, River Plate dan San Lorenzo lahir daripada komuniti imigran miskin di pelabuhan dan kawasan setinggan. Bola sepak kemudian menjadi ruang maruah bagi kelas pekerja dan penindasan politik.
Di Brazil, sukan itu pada awalnya dimonopoli golongan kulit putih berstatus tinggi, namun akhirnya direbut oleh rakyat miskin di favela, menjadikannya simbol pembebasan sosial dan jalan keluar daripada kemiskinan.
Di luar sana, bola sepak telah melahirkan identiti yang organik dan berakar dalam kehidupan rakyat. Sebuah kelab bukan hanya pasukan bola sepak, tetapi simbol sebuah kota – cerminan kelas sosial, citra pekerja dan warisan keluarga yang disokong turun-temurun.
Sejarah bola sepak di Malaysia pula berbeza sama sekali.
Bukan lahir daripada rakyat
Ia tidak lahir daripada keringat pekerja lombong atau buruh pelabuhan seperti di Eropah, tetapi dibawa masuk oleh penjajah British yang menjadikan ia aktiviti rekreasi di sekolah-sekolah kolonial dan kelab-kelab pegawai Eropah.
Dari awal lagi, bola sepak berkembang dalam lingkungan sekolah elit, jabatan kerajaan dan institusi pentadbiran, bukan dalam komuniti pekerja tempatan yang tidak mempunyai ruang, kuasa mahupun akses untuk membentuk kelab mereka sendiri.
Dari situlah budaya bola sepak kita tumbuh sebagai sukan yang diurus dari atas, dipantau oleh pentadbir dan dikembangkan melalui persatuan negeri yang dilahirkan struktur kuasa, bukan kehendak komuniti.
Ia bukan kelab yang dibina oleh rakyat, tetapi persatuan yang diwujudkan oleh kelompok penguasa.
Maka tidak pernah muncul kisah dramatik seperti kelab kejiranan yang membesar menjadi kelab profesional, atau anak golongan buruh yang diangkat sebagai ikon kelab. Semuanya kerana akar bola sepak Malaysia tidak pernah tumbuh dari bawah.

Akibatnya, bola sepak kita tidak pernah berkembang sebagai identiti komuniti. Ia tidak diikat oleh kisah kejiranan, tidak dibentuk oleh pengalaman kolektif kelas pekerja, dan tidak diwarisi turun-temurun seperti di Eropah.
Pasukan negeri yang kita kenal hari ini bukan kelab yang lahir daripada rakyatnya, tetapi persatuan yang diwujudkan melalui struktur pentadbiran. Nama, warna, pengurusan dan arah tuju pula sering berubah mengikut kepentingan kelompok yang berkuasa, bukan kehendak penyokong.
Bagaimana penyokong mahu merasakan kelab itu milik mereka jika sejarahnya sendiri tidak pernah bermula daripada tangan mereka?
Bagaimana wujud rasa setia jika setiap musim ada saja pasukan yang terbubar, bertukar nama, ditukar logo atau bertukar pemilik tanpa mengambil kira suara rakyat?
Diarah oleh mereka yang berkuasa
Bola sepak Malaysia dirancang dari atas, bukan dibina dari bawah – dan di situlah hilangnya rasa memiliki yang sepatutnya menjadi nadi sukan tersebut.
Lihat sahaja bagaimana pasukan-pasukan ternama kita ditubuhkan dan diurus. Selangor sejak awal dipayungi oleh pentadbiran negeri, dengan presiden dan penaung bersilih ganti terdiri daripada menteri besar dan kerabat diraja.
Perak pula berdekad-dekad beroperasi sebagai pasukan kerajaan negeri, lengkap dengan hierarki politik yang menentukan arah tuju persatuan. Pahang tidak terkecuali apabila struktur organisasi dan kepimpinan tertingginya turut diterajui oleh keluarga diraja yang memayungi persatuan.
Hampir semua pasukan negeri berkongsi pola yang sama: presiden ialah tokoh politik, penasihatnya anggota kerabat, dan pentadbiran datang dari pejabat kerajaan.
Ia tidak datang daripada komuniti penyokong.
Tradisi ini bukanlah salah. Ia lahir dari sejarah dan realiti negara ini. Namun ia menjelaskan satu perkara penting: kelab bola sepak Malaysia tidak pernah bermula sebagai milik rakyat biasa, tetapi sebagai lanjutan kepada struktur kuasa yang sedia ada.
Ada yang berhujah bahawa beberapa pasukan moden telah berjaya membina identiti kuat – Kelantan ketika era kebangkitan The Red Warriors (TRW) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan revolusi profesionalnya.
Kedua-duanya mencipta gelombang penyokong yang luar biasa. Namun jika diteliti akar penubuhannya, asasnya tetap sama: kelab-kelab ini dibangunkan, dibiayai dan diarahkan oleh tokoh berkuasa, bukan oleh komuniti penyokong.

Apa yang berubah hanyalah kecekapan pentadbiran serta kejelasan visi, bukan struktur sosiopolitik yang melahirkannya. Kelab menjadi lebih moden dan tersusun, tetapi tidak pernah benar-benar menjadi milik marhaen.
Jika dilihat dari permukaan, suasana stadium kelihatan meriah. Namun sorakan itu bukan terjemahan kepada rasa pemilikan komuniti seperti di Eropah, tetapi sekadar respon kepada kejayaan yang dibina oleh struktur kuasa yang sama.
Hubungannya tetap satu hala: kelab dicipta dan ditentukan dari atas, manakala penyokong hanya dijemput untuk memenuhi kerusi dan menghidupkan suasana.
Inilah hakikat yang jarang kita akui – bola sepak Malaysia tidak pernah bermula sebagai projek marhaen. Ia tidak dibina oleh pekerja, tidak lahir daripada komuniti dan tidak berkembang melalui akar identiti rakyat.
Sekadar jadi penonton
Struktur awalnya dicipta oleh pentadbiran kolonial, disambung oleh persatuan negeri yang ditadbir golongan elit dan diteruskan oleh kelab moden yang masih bergantung kepada tokoh berkuasa.
Kita boleh memperbaiki profesionalisme, membina akademi dan memodenkan liga.
Namun selagi asas pemilikannya kekal bersifat feudal, bola sepak kita akan terus bergerak dari atas ke bawah dan tidak pernah dari bawah ke atas seperti tradisi di Eropah.
Konflik demi konflik yang tercetus di negara kita akhir-akhir ini – kes pemalsuan dokumen dan keputusan yang berubah mengikut selera dan kehendak individu berpengaruh – juga sebenarnya mengesahkan teori tadi.
Apabila kuasa tertumpu di tangan segelintir elit, maka setiap krisis akan berputar di sekitar mereka, bukan sekitar rakyat atau kelab.
Inilah bukti bahawa bola sepak kita masih belum lepas daripada bayang-bayang feudalismenya sendiri.
Kita sahaja yang mengulang-ulang kononnya ia sukan rakyat, sedangkan selama ini rakyat sekadar menjadi penonton kepada sebuah permainan yang tidak pernah benar-benar menjadi milik mereka.
NUR HADI MOHAMAD ialah seorang pencinta sukan yang berhasil menumpahkan minatnya ke bidang penulisan dan kejurulatihan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
