Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Banjir: Lebih 300 calon SPM di Perak berpindah pusat peperiksaan
Diterbitkan:  Dec 1, 2025 11:28 AM
Dikemaskini: 3:28 AM

Seramai 306 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari empat sekolah di Perak dipindahkan ke pusat peperiksaan baru susulan banjir di negeri terbabit sekarang.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak Khairudin Abu Hanipah berkata mereka terdiri daripada 275 calon sekolah dan 31 calon persendirian yang terpaksa dipindahkan kerana keadaan pusat peperiksaan asal tidak selamat.

“Mereka ialah calon dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib di Teluk Intan melibatkan 67 calon sekolah dan 11 calon persendirian yang berpindah ke SMK Seri Perak; serta calon dari SMK Seri Kandi, Teluk Intan melibatkan 59 calon sekolah yang akan mengambil peperiksaan di SMK Seri Setia.

“Selain itu calon dari SMK Tun Abdul Razak di Selekoh, Badan Datuk seramai 93 calon sekolah dan 20 persendirian berpindah ke Dewan Masjid Tuminah Hamidi, manakala 56 calon sekolah dari SMK Datuk Idris, Pantai Remis, Manjung berpindah ke SMK Pantai Remis,” katanya pada sesi soal jawab lisan di persidangan Dewan Undangan Negeri di Ipoh hari ini.

Khairudin menjawab soalan tambahan Jason Ng Thien Yeong (PH-Astaka) yang bertanya mengenai langkah kerajaan negeri menguruskan pelajar termasuk yang terlibat dengan bencana banjir.

Menurut Khairudin turut dipindahkan ialah 20 calon dari Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan yang terlibat dengan insiden runtuhan cerun. Katanya mereka akan mengambil peperiksaan di SMK Pangkor.

Setakat 8 pagi tadi, Perak merekodkan sejumlah 4,766 mangsa daripada 1,447 keluarga yang masih berlindung di 30 pusat pemindahan sementara susulan banjir di lima daerah iaitu Hilir Perak, Manjung, Bagan Datuk, Perak Tengah serta Larut Matang dan Selama.

Menjawab soalan asal Ng mengenai keselamatan sekolah, Khairudin berkata, kerajaan melalui kementerian pendidikan sentiasa memberi penekanan terhadap aspek kebersihan, kesihatan dan keselamatan di premis berkenaan bagi menjamin kesejahteraan murid selain mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat serta kondusif.

“Antara langkah utama yang dilaksanakan ialah dasar, garis panduan, surat pekeliling ikhtisas dan surat siaran berkaitan aspek pengurusan keselamatan murid merangkumi aktiviti dijalankan di dalam dan juga di luar sekolah,” katanya.

Dia menambah, turut dilaksanakan ialah pemantauan dan audit keselamatan berterusan melalui Sistem Penarafan Keselamatan Sekolah selain kerjasama agensi serta pendidikan pencegahan melalui kolaborasi dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS