Arahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada peguam ahli perniagaan Albert Tei - Mahajoth Singh - untuk merakamkan kenyataannya hari ini adalah kerana bimbang bukti akan “dilupuskan”, kata satu sumber kepada Malaysiakini.
Menurut sumber yang rapat dengan siasatan, kebimbangan itu antara alasan yang dikemukakan SPRM ketika memohon reman terhadap Tei pada Sabtu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki turut mengesahkan bahawa perkara tersebut adalah sebahagian hujahan pendakwaan.

Dalam hujahan itu, pihak pendakwaan memaklumkan bahawa Tei memberitahu SPRM semua bukti terhadap bekas pegawai khas perdana menteri, Shamsul Iskandar Md Akin, telah diserahkan kepada peguamnya — termasuk rakaman perbualan dan dokumen transaksi.
SPRM juga sedang mengesan sebuah telefon yang dikaitkan dengan Tei, yang dipercayai berada dalam simpanan Mahajoth.
Namun Mahajoth menafikan dakwaan tersebut.
“Berhubung tuntutan SPRM bahawa sebuah telefon bimbit yang didakwa milik klien saya, saya tidak memilikinya, bercanggah dengan dakwaan atau kepercayaan SPRM yang tidak berasas,” katanya dalam kenyataan sebelum hadir ke ibu pejabat SPRM hari ini.

Mahajoth turut menegaskan bahawa semua dokumen yang diserahkan kepadanya dilindungi kerahsiaan peguam-klien.
“Saya tidak boleh mendedahkan komunikasi atau bahan yang dilindungi undang-undang — dan sukar difahami bagaimana SPRM tidak mampu atau tidak mahu memahami perlindungan asas ini.
“Apa pun berlaku, saya tidak akan menjawab sebarang soalan mengenai komunikasi atau dokumen yang diterima daripada anak guam saya dalam urusan nasihat undang-undang,” katanya.
Ketika dihubungi, seorang lagi peguam Tei, Zaid Malek, juga menafikan bahawa anak guamnya akan melupuskan bukti.
“Dia mahu hal ini disiasat, saya tak nampak sebab kenapa dia mahu melupuskan bukti,” katanya kepada Malaysiakini.
Namun Zaid enggan mengulas mengapa SPRM berpendapat sebaliknya.
“Saya tidak boleh mengesahkan atau menafikan niat SPRM atau pegawainya, tetapi saya rasa orang ramai boleh lihat sendiri bukti dan cara Tei dilayan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, firma guaman Messrs Raj & Sach yang mewakili isteri Tei, Lee Pei Rie, menghantar surat kepada SPRM semalam menuntut senarai rampasan penuh dan ditandatangani mengikut Seksyen 31 Akta SPRM.
Surat itu, yang dilihat Malaysiakini, turut menuntut SPRM memulangkan semua barang yang dirampas semasa serbuan di rumah Tei pada 28 November lalu.
Mereka juga mahu SPRM menjelaskan status undang-undang anak guamnya — sama ada sebagai saksi, suspek atau selainnya — dalam tempoh tiga hari.
Jika SPRM gagal berbuat demikian, mereka akan memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi untuk memaksa SPRM menyerahkan senarai rampasan, memulangkan barang rampasan yang ditahan secara tidak sah, serta mendapatkan deklarasi ketidakpatuhan prosedur.
Mereka juga bercadang membuat aduan rasmi kepada Jawatankuasa Aduan SPRM dan EAIC.

Pada 28 Nov, Lee mendakwa pegawai SPRM bertindak kasar ketika menyerbu rumahnya, termasuk mengacukan pistol kepadanya sebelum menggari Tei.
SPRM menafikan dakwaan tersebut. Kedua-dua pihak kemudian membuat laporan polis.
Serbuan dan penangkapan itu menyusul selepas Tei menuduh Shamsul menerima RM629,000 daripada dirinya selepas didakwa mampu membantu mendapatkan semula dana yang disalurkan kepada beberapa ahli politik di Sabah.
Tei turut mendakwa membayar kerja-kerja renovasi, peralatan, perabot, cerut premium dan sut tempahan untuk Shamsul — selain permintaan Shamsul untuk wang tunai semasa berada di luar negara.
Shamsul, Tei dan seorang wanita yang dituduh menjadi proksi kepada ketua PKR Melaka itu ditahan pada Jumaat lalu. Shamsul dan Tei ditahan direman enam hari.
