PARLIMEN l Sesi pagi Dewan Rakyat hari ini kecoh susualan pantun berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sehingga menyaksikan pertikaman lidah di antara beberapa wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.
Suasana hangat itu memaksa Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ramli Mohd Nor, campur tangan dan memberi amaran kepada ahli Parlimen bahawa mereka berisiko digantung daripada menghadiri persidangan jika melanggar Peraturan Mesyuarat.
Kekecohan itu bermula apabila Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) semasa mengutarakan soalan kepada Menteri Pertahanan Adly Zahari pada sesi soal jawab lisan menyindir prestasi parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan DAP.

“Hajiji jadi ketua menteri lagi,
“Menang kerusi tak sampai 30,
“DAP Sabah bungkus sehingga gigit jari,
“Soalan saya nombor 10,” kata Ikmal Hisham.
Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) terus bangkit dan mencelah.
"Bersatu sama juga, bertanding 33 kerusi (DUN), 30 kerusi hilang deposit," katanya sebelum RSN Rayer (PH-Jelutong) pula menegur Ikmal Hashim dan menyatakan bahawa pantun sedemikian tidak wajar dibacakan.

Suasana bertambah panas sehingga memaksa Ramli campur tangan dan kemudiannya membuat ketetapan dengan memberi amaran supaya ahli Parlimen mematuhi Peraturan Mesyuarat 35 (1).
"Seorang ahli tidak boleh bercakap sehingga dipanggil pengerusi. Hukuman dalam tangan saya 10 hari dan jika saya tidak berpuas hati, akan bawa ke jawatankuasa (Hak dan Parlimen) selama enam bulan.
"Ini amaran terakhir, saya akan jatuhkan pertuduhan, saya akan tegas kerana tidak mahu Dewan ini menjadi satu tempat yang tidak laksanakan tanggungjawab dengan baik," katanya.
Sementara itu, Adly ketika menjawab soalan Ikmal Hisham, berkata Tentera Darat Malaysia (TDM) tidak berhasrat melupuskan 20 kenderaan Lipan Bara buatan Chaiseri, Thailand, yang masih digunakan dalam operasi dan latihan.
Katanya, daripada jumlah tersebut, 14 kenderaan digunakan oleh Kor Armor Diraja di Kota Belud, Sabah, manakala enam lagi ditempatkan di Pusat Latihan Armor di Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Kesemua kenderaan ini masih berfungsi dan menyokong keperluan operasi semasa,” katanya.
Dalam soalannya, Ikmal Hisham meminta menteri pertahanan menyatakan mengenai perancangan TDM untuk melupuskan 20 kenderaan Lipan Bara atau High Mobility Armoured Vehicle (HMAV) buatan Chaiseri dari Thailand, mengambil kira perolehan terkini kenderaan 4x4 Tarantula buatan Syarikat Mildef dari Malaysia.
Berhubung perolehan kenderaan HMAV Tarantula buatan Syarikat Mildef, Adly berkata Kementerian Pertahanan merancang memperoleh 136 unit berdasarkan keperluan TDM sebagai pengguna akhir.
Adly berkata perolehan itu bertujuan meningkatkan keupayaan serta kesiapsiagaan TDM pada masa hadapan selaras dengan keperluan pertahanan negara.

Sementara itu, ketika menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) mengenai penilaian semula terhadap kilang pemasangan helikopter AW149 oleh syarikat Leonardo di Melaka, Adly berkata Kementerian Pertahanan tidak terlibat dalam pembinaan kemudahan tersebut.
“Secara dasarnya, kementerian tidak terlibat kerana ia merupakan kerjasama antara syarikat swasta secara ‘business-to-business’ dengan Kerajaan Negeri Melaka,” katanya.
Dia berkata pembangunan kilang itu adalah hasil perbincangan tiga hala antara kerajaan Melaka dengan syarikat Leonardo, iaitu sebuah syarikat teknologi dan pertahanan dari Itali dan Westar Aviation Sdn Bhd, selaras dengan perjanjian konsesi pajakan 28 helikopter untuk kegunaan agensi kerajaan.
