Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Senator beri amaran pengaruh kartel dalam tender kawalan keselamatan k'jaan
Diterbitkan:  Dec 1, 2025 3:28 PM
Dikemaskini: 7:28 AM

Senator Sivaraj Chandran membangkitkan kebimbangan mengenai pengaruh kartel yang dikatakan semakin meningkat dalam tender kawalan keselamatan kerajaan.

Ahli Dewan Negara itu menegaskan bahawa kartel-kartel ini telah mengawal secara sistematik syarikat-syarikat yang dianugerahkan kontrak, terutamanya dalam Kementerian Pendidikan.

"Dalam perbahasan Rang Undang-Undang Agensi Persendirian (Pindaan) 2025 di Dewan Negara, saya menegaskan satu perkara yang selama ini ramai tahu, tetapi tidak ramai yang berani sebut secara terbuka, wujudnya kartel yang semakin teratur dan semakin berani mengawal tender-tender Kawalan Keselamatan kerajaan, terutamanya di Kementerian Pendidikan dan beberapa kementerian lain.

"Ini bukan lagi cerita-cerita kecil. Ini adalah satu pola, berulang, sama, dan terlalu kemas untuk dianggap kebetulan

"Syarikat-syarikat yang memenuhi semua syarat kewangan, teknikal, serta mempunyai rekod prestasi yang baik, tetap diketepikan hanya kerana mereka enggan tunduk kepada “syarat tidak rasmi” yang dikenakan kumpulan tertentu.

"Apabila keputusan tender sudah diketahui sebelum tender dibuka, itu bukan proses perolehan. Itu penjualan pengaruh," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

‘Tak boleh disentuh’

Sivaraj meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap perkara itu, dengan menegaskan bahawa tuntutan kerajaan untuk integriti dan ketelusan adalah bertentangan dengan amalan ini, yang akhirnya akan menghakis kepercayaan orang ramai.

Sivaraj mendakwa bahawa kartel-kartel ini beroperasi dengan keyakinan seolah-olah mereka adalah pemilik sebenar kontrak kerajaan.

"Jika pihak swasta boleh menentukan siapa dapat tender, maka kementerian hilang kuasa, kerajaan hilang wibawa, dan rakyat hilang keyakinan.

"Saya menggesa Kementerian Dalam Negeri, yang menjadi pengawal selia industri kawalan keselamatan, untuk bertindak tegas.

"Kelewatan hanya akan menguatkan lagi keyakinan kartel bahawa mereka tidak boleh disentuh," tegasnya.

SIvarah juga berkata dia percaya bahawa SPRM sedang menyiasat rangkaian yang mengawal kontrak bernilai jutaan ringgit setiap tahun.

"Yang perlu dihentikan bukan orang kecil, tetapi keseluruhan rantaian.

Kontrak keselamatan bukan permainan. Ini melibatkan sekolah, institusi awam dan keselamatan rakyat.

"Jika kartel terus menentukan siapa menang tender, kita sedang membina sebuah negara di mana rasuah menjadi budaya. Dan itu tidak boleh diterima.

"Tindakan mesti diambil sekarang, bukan nanti," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS