Kementerian Pendidikan (KPM) bertindak segera terhadap beberapa pegawainya terlibat aktiviti songsang dengan memastikan mereka terlibat tidak lagi berada di mana-mana institusi pendidikan bawah kementerian itu.
Malah, menurut KPM, pihaknya tekad membanteras kegiatan tidak bermoral di semua peringkat dan memandang serius pembabitan pegawainya.
"Siasatan dalaman sedang berjalan. Tindakan segera sudah diambil dengan memastikan pegawai terbabit tidak lagi berada di mana-mana institusi pendidikan bawah KPM hingga proses siasatan selesai.
"Semua ketua jabatan diingatkan untuk meningkatkan pemantauan dan memastikan kegiatan tidak bermoral dibanteras di setiap peringkat," kata kementerian itu dalam kenyataan, hari ini.

Pada Sabtu lalu, Malaysiakini melaporkan sebanyak 17 penjawat awam antara 208 individu ditahan polis dalam serbuan di sebuah kelab kesihatan yang dipercayai dijadikan lokasi aktiviti seksual songsang di kawasan Chow Kit, di Kuala Lumpur.
Kelab di premis tiga tingkat itu menempatkan gimnasium di tingkat bawah, manakala tingkat atas dijadikan sauna, jakuzi dan sebuah ‘bilik gelap’ khas untuk aktiviti tidak bermoral.
Mereka yang berusia antara 19 hingga 60 tahun ditahan dalam satu operasi mengejut membabitkan Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Meskipun berdepan kritikan daripada beberapa pertubuhan hak asasi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na'im Mokhtar berkata pihaknya mendukung penuh tindakan penguatkuasaan “OPS Songsang” itu.
