Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengecam serbuan pada 28 Nov di sebuah pusat kesihatan di Jalan Raja Laut — yang didakwa sebagai pusat “gay” — sehingga membawa kepada penahanan 201 individu.
Dalam satu kenyataan, Timbalan Pengerusi Pemuda PSM, Muhammad Aiman Mohd Sees menyifatkan serbuan itu sebagai tindakan sembrono serta mencabuli hak asasi, selain mendakwa berlaku diskriminasi dan intimidasi.
“PDRM khususnya IPD Dang Wangi telah menyalahgunakan kuasa dalam penahanan 171 warganegara Malaysia dan 30 bukan warganegara. Penahanan ini tidak sah kerana telah melebihi 24 jam tanpa mendapat kebenaran reman oleh majistret.
"Tindakan membelakangi undang-undang ini ialah tindakan pecah amanah terhadap rakyat Malaysia,” katanya.
Namun, dakwaan itu dinafikan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Sazalee Adam, ketika dihubungi Malaysiakini.
Menurut Muhammad Aiman, walaupun permohonan reman ditolak pada 29 Nov, mereka tidak dibenarkan bebas daripada tahanan polis melainkan adanya penjamin setiap seorang.
Hal ini berterusan sehingga 30 Nov dan melebihi tempoh sah penahanan 24 jam tanpa reman, katanya.
Berikutan itu, katanya, pihak aktivis, peguam, ahli keluarga, dan orang awam yang prihatin telah berkumpul di luar IPD Dang Wangi sejak 29 Nov bagi urusan ikat jamin dan solidariti.
Media pada 29 Nov melaporkan bahawa serbuan dibuat selepas dua minggu pemantauan dan maklumat awam, membawa kepada penahanan 201 lelaki berusia 19 hingga 60 tahun.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Azani Omar, dipetik berkata risikan menunjukkan wujudnya “aktiviti songsang” di premis tersebut.
Mereka yang ditahan termasuk 80 lelaki beragama Islam serta warga asing dari Korea Selatan, Indonesia, Jerman dan China.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, kemudian mengesahkan 171 individu dibebaskan selepas permohonan reman gagal.
Menurutnya, permohonan ditolak kerana kelewatan menghantar dokumen akibat jumlah tahanan yang besar, sementara siasatan di bawah Seksyen 377 dan 372 Kanun Keseksaan tidak dapat diteruskan kerana kekurangan bukti.
Fadil turut menegaskan tiada dakwaan boleh dibuat kerana tiada individu mengaku sebagai mangsa eksploitasi, pelacuran atau hubungan luar tabii.
Pertubuhan Justice for Sisters (JFS) dalam kenyataan lain menyifatkan serbuan itu sebagai tindakan diskriminasi kerana menyasarkan sebuah “pusat perubatan” berdasarkan persepsi terhadap pelanggannya.
Sebaliknya, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) pula berkata serbuan ke atas premis itu memperlihatkan budaya maksiat dalam negara semakin berani, terancang dan dilakukan tanpa segan silu.
Timbalan Presidennya, Mohamad Saifuddin Abdul Latiff berkata isu hubungan sejenis tidak lagi boleh dianggap sebagai isu peribadi, sebaliknya ia adalah ancaman sosial dan kesihatan yang memerlukan intervensi menyeluruh daripada keluarga, komuniti, pihak berkuasa, institusi agama dan sistem pendidikan negara.
Persoal waktu serbuan
Mengulas lanjut, Muhammad Aiman turut mempersoalkan masa serbuan dijalankan di saat negara digemparkan dengan perkembangan skandal rasuah perlombongan di Sabah.
“Kita harus menyoal mengapakah operasi serbuan dijalankan pada masa ini selepas dua minggu risikan.
“Usaha membangkitkan suatu isu yang popular seperti ‘banteras gejala songsang’ sebagai cara mengalih perhatian masyarakat daripada kontroversi melibatkan kerajaan adalah perkara yang biasa berlaku baik oleh kerajaan terdahulu mahupun yang terkini,”katanya.
Selain itu dia turut mendakwa identiti suspek tersebar akibat kehadiran media yang dibenarkan mengikuti serbuan.
“Sejak tiga hari lalu, pelbagai maklumat peribadi tersebar di media sosial, termasuk demografi, tempat kerja dan status perkahwinan suspek.
“Malah, ada akhbar dalam talian yang menerbitkan laporan yang tidak sensitif terhadap maklumat peribadi suspek, seolah-olah tiada etika kewartawanan,”katanya.
