Badan Peguam Malaysia menyuarakan kebimbangan serius selepas SPRM memanggil seorang peguam yang mewakili individu yang sedang disiasat, dengan menyatakan tindakan itu menjejaskan integriti profesional guaman.
Dalam kenyataan hari ini, Presiden Badan Peguam, Ezri Abdul Wahab, menyifatkan tindakan suruhanjaya antirasuah itu sebagai “sangat membimbangkan” kerana ia menunjukkan pelanggaran hak yang penting dalam pentadbiran keadilan.
Walaupun tidak menamakan mana-mana pihak, kenyataan itu dipercayai merujuk kepada Mahajoth Singh, peguam kepada ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei.
Mahajoth dalam satu kenyataan pagi tadi memaklumkan bahawa dia berada di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 10 pagi, selepas dipanggil untuk memberi keterangan mengikut Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM 2009 semalam.
Dia menambah pihak berkuasa juga mengeluarkan satu lagi notis di bawah Seksyen 30(1)(b) akta sama bagi mendapatkan beberapa dokumen dan telefon bimbit yang didakwa milik anak guamnya - yang menurutnya, bukan miliknya.
"Badan Peguam mengecam sekeras-kerasnya tindakan terbaru SPRM, yang jelas melanggar Seksyen 46 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM),” katanya.
Peruntukan tersebut menegaskan bahawa peguam boleh diminta memberikan maklumat bagi tujuan siasatan, namun semua komunikasi antara peguam dan anak guam tetap dilindungi sepenuhnya.
Menurut Ezri, hak keistimewaan itu tidak boleh diketepikan walaupun ada siasatan, dan cubaan untuk memintasnya melanggar kehendak Parlimen serta menjejaskan kedaulatan undang-undang.
“Berdasarkan perlindungan statutori yang jelas di bawah Seksyen 46 Akta SPRM dan pendirian mahkamah yang tidak berbelah bahagi, dokumen dan komunikasi berkeistimewaan mesti kekal di luar jangkauan mana-mana agensi penguatkuasaan, termasuk SPRM, kecuali jika dibenarkan secara jelas oleh anak guam atau melalui perintah khusus Mahkamah Tinggi.
“Keistimewaan ini tidak boleh dianggap terbatal hanya kerana wujudnya siasatan. Sebarang cubaan memintas perlindungan ini bercanggah dengan hasrat Parlimen dan menjejaskan kedaulatan undang-undang,” tambah Ezri.

Presiden Badan Peguam itu turut memaklumkan bahawa ini bukan kali pertama pihaknya mengambil pendirian sebegitu, dan dalam tempoh sedekad lalu, Badan Peguam sentiasa menekankan pentingnya melindungi bahan berkeistimewaan melalui pekeliling rasminya.
Dia menegaskan bahawa Badan Peguam bersedia memberikan sokongan atau mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya bagi memelihara kedaulatan undang-undang, melindungi integriti wakil guaman, dan mempertahankan hak asasi untuk mendapatkan nasihat guaman yang sulit.
SPRM baru-baru ini menjadi tumpuan selepas didakwa cuba mengugut Mahajoth dengan memanggilnya untuk disoal siasat atas alasan dia memegang bahan bukti berkaitan siasatan terhadap anak guamnya.
Agensi itu bagaimanapun mendakwa tindakan tersebut adalah dalam bidang kuasanya seperti termaktub di bawah Seksyen 30(1) Akta SPRM, yang membenarkan suruhanjaya itu mengeluarkan notis dan mengarahkan mana-mana individu hadir serta mengemukakan dokumen atau rakaman yang perlu bagi membantu siasatan.
Pengasas bersama Lawyers for Liberty (LFL), Eric Paulsen, turut mengkritik langkah itu hari ini, menyatakan bahawa tindakan menyoal Mahajoth merupakan satu bentuk gangguan tidak wajar dan pelanggaran prinsip asas keistimewaan komunikasi antara peguam dan anak guam.
Paulsen menggesa SPRM menghormati peranan penting peguam dalam menegakkan kedaulatan undang-undang dan memastikan hak kepada wakil guaman seperti termaktub di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.
