Kegagalan kerajaan dalam menyampaikan maklumat dasar kepada orang ramai bukan berpunca daripada Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) semata-mata, sebaliknya kelemahan struktur komunikasi kerajaan secara keseluruhan.
Malah, bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli menyifatkan J-Kom hanyalah “simptom” kepada model komunikasi lapuk yang masih bergantung kepada kaedah membeli perhatian melalui media berbayar.
Rafizi berkata masalah itu telah wujud sejak kemunculan internet dan media sosial, apabila kerajaan-kerajaan terdahulu dan kini gagal menyesuaikan komunikasi dasar tanpa bergantung kepada belanja besar.
“Masalah kita bukan bermula dengan J-Kom. J-Kom cuma simptom.
“Sejak wujud internet dan media sosial, hampir semua kerajaan gagal mencari formula komunikasi yang betul,” katanya dalam satu kenyataan di media sosialnya, hari ini.
Bekas timbalan presiden PKR itu mendakwa penampilan menteri dalam media arus perdana juga bukan dibuat secara percuma, sebaliknya dibayar menggunakan dana kerajaan.
“Ramai yang tak tahu, setiap kali ada menteri yang muka dia muncul selalu di TV dan media, itu biasanya bukan liputan percuma. Ada bajet dan yang bayar akhirnya ialah rakyat. Dari zaman (bekas perdana menteri keenam) Najib Razak sampai (bekas perdana menteri kesembilan) Ismail Sabri Yaakob,” katanya.
Rafizi juga menegaskan bahawa peruntukan J-Kom sebanyak RM16 juta bukan isu utama, sebaliknya kebergantungan kerajaan kepada model lama dengan membeli "iklan, membeli ruang dan perhatian".
“Sebab itu saya kata, (peruntukan kepada sebanyak) RM16 juta (kepada) J-Kom cuma cebisan kecil daripada masalah lebih besar.
“Cara kerajaan berkomunikasi masih bersandar pada model lama, beli iklan, beli ruang, beli perhatian,” katanya.
Gesaan J-Kom dirombak
Pada 24 November lalu, beberapa ahli Parlimen membangkitkan prestasi J-Kom di Dewan Rakyat.
Antaranya, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang menggesa J-Kom dirombak kerana capaian dalam talian unit itu adalah terhad.
Mengambil contoh audio siar ketua pengarah yang menurutnya menerima kurang daripada 50 tontonan di YouTube, Khoo berkata ramai yang terlepas maklumat mengenai dasar-dasar utama.
Gesaan yang sama turut dibuat Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan.
Menurut Wan Saiful, kritikan yang dibangkitkan oleh beberapa ahli Parlimen di Dewan Rakyat menunjukkan masalah J-Kom bukan lagi isu terpencil.
Menurut Wan Saiful, teguran bahawa J-Kom gagal menyampaikan maklumat dasar kerajaan kepada rakyat, selain amaran supaya ia tidak dijadikan alat propaganda politik, wajar diambil serius memandangkan agensi itu dibiayai sepenuhnya oleh wang pembayar cukai.
Susulan kritikan itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil telah mengarahkan J-Kom meneliti cadangan rombakan bersesuaian, selepas unit itu didakwa gagal menyampaikan mesej kerajaan kepada orang ramai.
“Saya telah mengarahkan J-Kom meneliti cadangan rombakan bersesuaian untuk memenuhi hasrat supaya maklumat sampai kepada komuniti,” katanya.
Fahmi menegaskan pihaknya sentiasa terbuka menerima cadangan dan pandangan untuk menambahbaik penyampaian J-Kom.
