Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RUU antibuli bolehkan tribunal ditubuh, pampasan hingga RM250,000

Rang Undang-Undang Anti-Buli 2025 yang ditunggu-tunggu akhirnya dibentangkan di Parlimen, yang menyediakan rangka undang-undang untuk mencegah dan menangani kejadian buli di institusi pendidikan kerajaan, bantuan kerajaan dan swasta, serta pusat tahanan dan kebajikan kanak-kanak.

Rang undang-undang itu mentakrifkan buli secara luas sebagai apa-apa perbuatan disengajakan yang menyebabkan mudarat fizikal, psikologi atau sosial kepada mangsa, sama ada berlaku berulang kali atau hanya satu insiden serius.

Takrif ini merangkumi kecederaan fizikal, penghinaan atau kata-kata kesat, pengasingan sosial, diskriminasi berdasarkan jantina, kaum, agama atau kecacatan, serta buli siber melalui komunikasi elektronik atau digital.

Teras kepada undang-undang ini ialah penubuhan sebuah tribunal yang akan mendengar aduan daripada mangsa atau ibu bapa dan penjaga mereka.

Tribunal ini diberi bidang kuasa luas termasuk mengarahkan permohonan maaf, memadam kandungan dalam talian, serta memberikan pampasan sehingga RM250,000 kepada mangsa buli.

Kuasa undang-undang bagi jumlah maksimum pampasan RM250,000 dinyatakan di bawah Klausa 43(1)(e) rang undang-undang berkenaan, dan turut diperincikan dalam kenyataan penjelasan dokumen tersebut.

Komposisi tribunal

Tribunal ini akan dianggotai pakar perundangan dari perkhidmatan kehakiman dan undang-undang, serta profesional berpengalaman dalam kebajikan kanak-kanak, psikologi, pembangunan dan keadilan restoratif.

Setiap panel tiga anggota mesti mempunyai sekurang-kurangnya seorang wanita, dan prosiding dijalankan secara tidak formal, mesra kanak-kanak dan tertutup kepada umum.

Tribunal ini mempunyai bidang kuasa untuk mendengar aduan dalam tiga keadaan iaitu apabila jawatankuasa antibuli institusi gagal bertindak sewajarnya, apabila kejadian berlaku di luar pengawasan institusi, atau apabila mangsa tidak berada di bawah jagaan mana-mana institusi.

Secara umumnya, pengadu mesti mengemukakan aduan terlebih dahulu kepada jawatankuasa antibuli institusi sebelum membawa kes ke tribunal, kecuali bagi insiden yang berlaku di luar pengawasan institusi.

Bagi responden kanak-kanak, ibu bapa atau penjaga boleh diarahkan menghadiri sesi kaunseling atau program sokongan keibubapaan bersama anak mereka, atau dipertanggungjawabkan dari segi kewangan untuk pampasan dan kos berkaitan.

Rang undang-undang ini turut mengutamakan kaedah mediasi, sekiranya kedua-dua pihak bersetuju secara bebas dan tribunal menilai bahawa ia sesuai berdasarkan situasi dan keselamatan kanak-kanak.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS