Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perjanjian ART: Mahathir adukan Anwar ke polis
Diterbitkan:  Dec 2, 2025 10:39 AM
Dikemaskini: 2:39 AM

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad akan membuat laporan polis berhubung Perjanjian Timbal Balik Malaysia-AS (ART), di Putrajaya pagi ini.

Menurut kenyataan pejabat Mahathir laporan berkaitan perjanjian ditandatangani Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan Presiden AS Donald Trump itu akan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.

“Satu sidang media ringkas akan dibuat sejurus selepas itu,” kata kenyataan tersebut yang diedarkan kepada media pagi ini.

ART yang ditandatangani Anwar dan Trump pada 26 Okt lalu antara lain bertujuan untuk merancakkan aktiviti ekonomi kedua-dua negara, selain pelarasan tarif serta kerjasama Malaysia dan AS.

Bagaimanapun beberapa pihak mengkritik ART kerana dianggap merugikan negara, khususnya terkait hak bumiputera.

Klausa yang turut dikritik ialah jika ada kuota, larangan atau sekatan dagang terhadap negara lain atas alasan melindungi ekonomi dan keselamatan AS, Malaysia mesti mengambil tindakan sama atau bersetuju dengan garis masa ditetapkan Washington untuk melaksanakannya.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz – yang mengakhiri tempoh perkhidmatan hari ini – menegaskan Artikel 5.1 perjanjian tersebut hanya terpakai dalam isu yang melibatkan kebimbangan ekonomi bersama, dan mesti dilaksanakan mengikut undang-undang domestik Malaysia serta pada garis masa yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Walaupun Anwar sudah menjelaskan bahawa terdapat klausa keluar (exit clauses) yang membolehkan Malaysia menamatkan atau menarik diri secara sah, reaksi Mahathir terhadap perjanjian itu kekal keras.

Pada 3 Nov pula Mahathir menggesa Anwar meletakkan jawatan kerana didakwa “menjejaskan kedaulatan” negara. Dia mendakwa perjanjian itu bukan sahaja melanggar Perlembagaan Persekutuan, tetapi juga menjejaskan hak dan kedaulatan negara termasuk kedudukan raja-raja Melayu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS