PARLIMEN l Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa dirinya tidak pernah mencampuri sebarang urusan penyiasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk kes melibatkan bekas setiausaha politik kanannya.
Sambil membidas tindakan pembangkang yang masih tidak berpuas hati terhadap proses siasatan, katanya Shamsul Iskandar Mohd Akin tidak diberi layanan istimewa oleh SPRM dan kerajaan.
"Dalam kes yang sekarang disiasat SPRM. Cuba lihat, hendak suruh buat apa lagi?

“Orang itu digari dengan baju oren. Saya rasa banyak kes berat yang lain tidak digaripun.
"Tidak puas hati lagi ke? Jadi saya (rasa) setakat itu dan saya tidak tegur sepatahpun kepada SPRM. Saya sudah bagitahu, dia bebas untuk siasat, dia siasatlah. Dia nak suruh apa lagi?” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar juga memaklumkan SPRM turut diberi ruang sepenuhnya untuk menjalankan siasat dan bertindak tanpa halangan atau tekanan politik.
"Saya tidak pertahankan staf (kakitangan) saya. Saya hendak tanya mengapa hendak pertahankan orang lain?" katanya.
Anwar, yang juga menteri kewangan, berkata kerajaan dengan tekad politik dan kesungguhan untuk membanteras rasuah melibatkan kerjasama agensi seperti SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Bank Negara Malaysia telah berupaya mengembalikan hasil negara berjumlah RM15.5 bilion.
“Ini adalah tindakan terhadap gejala sindiket yang berlaku dan berlanjutan selama puluhan tahun... ramai yang menyaksikan tetapi tindakan hanya dapat diambil kerana ada tekad politik dan kesungguhan melaksanakan,” katanya lagi.
Pada 29 November lalu, Mahkamah Majistret Putrajaya memberikan perintah reman enam hari terhadap Shamsul Iskandar dan ahli perniagaan Albert Tei susulan siasatan rasuah melibatkan nilai lebih RM600,000.

Siasatan dibuat setelah Tei mendedahkan dia menyogok Shamsul Iskandar melalui pelbagai pembelian dan bayaran, termasuk tunai, bagi mendapat kembali wang yang disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah bagi mendapatkan lesen prospek perlombongan di negeri itu.
