Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh menafikan dakwaan bahawa parti itu sejak tahun lalu merancang menerima Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang tamat tempoh, Tengku Zafrul Abdul Aziz, sebagai ahli.
Penafian itu dibuat susulan kenyataan bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli minggu lalu, yang mendakwa perdana menteri merangkap presiden PKR Anwar Ibrahim sepatutnya mengumumkan kemasukan Zafrul pada konngres PKR 2024.

“Bagi kongres 2024, saya boleh sahkan bahawa memang langsung tiada usaha daripada sesiapa untuk mengumumkan kemasukan Zafrul,” katanya seperti dipetik New Straits Times semalam.
Fuziah turut menolak dakwaan Rafizi bahawa usaha awal merekrut Zafrul ke dalam PKR bermula sekitar April 2024.
Dia menjelaskan bahawa Zafrul hanya menghantar surat menyatakan minat menyertai PKR selepas pulang daripada menunaikan haji pada Mei 2025.
Zafrul juga hanya melengkapkan borang keahlian selepas sistem keahlian dalam talian PKR dibuka semula susulan pemilihan parti tahun ini.

“Sebelum itu tiada permohonan rasmi kerana sistem keahlian tidak dibuka. Sistem PKR adalah sepenuhnya dalam talian dan semua permohonan mesti dikemukakan melalui platform tersebut,” jelas Fuziah.
Dalam podcastnya minggu lalu, Rafizi — yang juga bekas menteri ekonomi — mendakwa Zafrul pada peringkat awal dirancang menyertai parti dan menjadi ahli Parlimen melalui satu pilihan raya kecil tahun lalu.
Menurutnya, langkah itu akan membantu Zafrul mengekalkan kedudukannya dalam kerajaan, sementara dia pula dijangka membantu “melicinkan jalan” untuk Nurul Izzah Anwar menggantikan Amirudin Shari sebagai menteri besar Selangor.
Rafizi turut mendakwa Anwar adalah penyokong paling tegar kemasukan Zafrul ke dalam parti.

Bagaimanapun, katanya, rancangan itu akhirnya terbantut akibat bantahan keras Umno terhadap PKR yang dianggap mahu “memancing” ahlinya.
Zafrul diterima masuk PKR pada Julai tahun ini selepas meletak jawatan dalam Umno dan mengumumkan hasrat menyertai PKR pada 30 Mei.
Zafrul, yang tempoh senatornya di Dewan Negara tamat hari ini, dijangka dilantik ke jawatan baharu yang akan diumumkan esok.
Anwar, yang juga menteri kewangan, sebelum ini memuji peranan Zafrul menerajui MITI, Mida, dan Matrade sebagai “sangat baik”.
Semalam, perdana menteri berkata tiada rombakan kabinet besar-besaran, sebaliknya hanya akan ada pengisian kekosongan jawatan.
Spekulasi rombakan kembali memuncak apabila beberapa menteri dijangka menamatkan perkhidmatan berikutan luputnya tempoh senator mereka bulan ini — termasuk Zafrul, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir, dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
Turut hangat diperkatakan ialah siapa yang akan menggantikan Rafizi, bekas menteri sumber asli dan kelestarian alam Nik Nazmi Nik Ahmad, serta bekas menteri pembangunan usahawan dan koperasi Ewon Benedick, yang semuanya meletak jawatan.
