Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCMC lemah tangani bahaya internet terhadap kanak-kanak - PSC

PARLIMEN | Sebuah jawatankuasa pilihan parlimen mengecam Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) yang disifatkan lemah dalam menangani bahaya dalam talian yang menjejaskan kanak-kanak.

Ahli Parlimen Yeo Bee Yin (Pakatan Harapan-Puchong) berkata jawatankuasa pilihan parlimen (PSC) mengenai wanita, kanak-kanak dan pembangunan komuniti mendapati komitmen kewangan dan kapasiti MCMC dalam menjaga keselamatan internet adalah "sangat rendah".

Pengerusi jawatankuasa itu berkata penemuan itu berdasarkan peranan MCMC dalam mengawal permainan dalam talian dan penyebaran pornografi dalam kalangan kanak-kanak, serta pengedaran bahan penderaan seksual kanak-kanak.

“Jawatankuasa telah merujuk penyata kewangan MCMC dari tahun 2019 sehingga 2023 dan mendapati pendapatan MCMC adalah sekitar RM 1.2 hingga 1.6 bilion,” kata Yeo di Dewan Rakyat hari ini.

"Walau bagaimanapun, bagi tujuan pemantauan termasuk mengenal pasti laman web yang mengandungi kandungan berbahaya yang boleh diakses oleh kanak-kanak, MCMC tidak memberi peruntukkan khusus yang secukupnya dengan kakitangan hanya seramai 56 pegawai," katanya.

Dia juga berkata adalah “sangat membimbangkan” bahawa MCMC telah gagal menggunakan sistem automasi atau kecerdasan buatan (AI) sebagai sebahagian daripada usaha pemantauan, dengan prosedur sedemikian sebaliknya dijalankan “secara manual” melalui kaedah seperti carian kata kunci di laman web yang berbeza.

Kelemahan MCMC amat membimbangkan memandangkan dapatan jawatankuasa itu bahawa hampir 90 peratus remaja yang berulang kali terlibat dalam aktiviti seksual berbuat demikian akibat pendedahan awal kepada pornografi, media sosial dan bahan digital lucah.

Yeo berucap di Dewan Rakyat semasa sesi taklimat mengenai laporan jawatankuasa mengenai keselamatan digital dan kesihatan mental kanak-kanak di negara ini.

Laporan yang dibentangkan di dewan rakyat semalam, mengenal pasti tiga cabaran utama dalam menangani kesan negatif pendedahan internet yang tidak terkawal dalam kalangan kanak-kanak.

Khususnya, jawatankuasa itu memutuskan bahawa keupayaan penguatkuasaan keselamatan digital negara masih "tidak mencukupi" disebabkan oleh batasan kuasa undang-undang, ketidakpatuhan oleh platform global, dan "yang paling penting," kapasiti pemantauan MCMC yang rendah.

"Pengurusan kesihatan mental kanak-kanak di sekolah masih tidak menyeluruh dan konsisten; dan tahap literasi digital dan keupayaan pengawasan ibu bapa terhadap penggunaan peranti kanak-kanak masih rendah," tambah Yeo.

Membahaskan taklimat Yeo, ahli parlimen PKR Sim Tze Tzin menggesa Putrajaya untuk mempertimbangkan semula cadangan menghalang rakyat Malaysia di bawah umur 16 tahun daripada mendaftar akaun media sosial bermula tahun depan.

Sambil menekankan bahawa dasar itu merupakan keputusan utama yang harus terlebih dahulu mendapatkan input komprehensif daripada semua pihak berkepentingan yang berkaitan, ahli parlimen itu berhujah bahawa laporan jawatankuasa itu menunjukkan bahawa negara "belum bersedia" untuk langkah berkenaan.

“Kerajaan umum akan menghalang, sekat media sosial tahun hadapan. Tinggal satu bulan masuk 2026. Kita perlukan satu engagement yang sangat besar, perbincangan antara semua pihak,” kata Sim.

Dengan menyatakan bahawa larangan media sosial untuk kanak-kanak boleh makan diri, Sim mencadangkan agar Ahli Parlimen mewujudkan kaukus untuk membantu kerajaan mencari penyelesaian kepada gangguan permainan internet dan gangguan kebimbangan sosial sebelum memutuskan sama ada untuk melarang media sosial atau tidak.

“Kalau kita sekat media sosial ada kesannya, anak kita hilang platform untuk belajar ilmu baru, atau satu idea yang baru, terputus dari dunia.

"Dalam sekolah pun guna Whtasapp untuk kerja rumah, arahan dari guru,” kata Sim.

Kerajaan berhasrat untuk mengharamkan penggunaan media sosial untuk kanak-kanak di bawah umur 16 tahun sebagai sebahagian daripada perlindungan yang lebih luas di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian, berkuat kuasa 1 Januari.

Kabinet sebelum ini telah menaikkan had umur minimum media sosial daripada 13 tahun yang dicadangkan sebelum ini kepada 16 tahun, yang mewajibkan platform untuk mengesahkan umur pengguna melalui dokumen rasmi seperti MyKad, pasport atau ID MyDigital melalui pengesahan identiti elektronik kenali pelanggan (eKYC).

Pakar keselamatan siber sejak itu memberi amaran bahawa menyerahkan data dokumen identiti negara kepada platform media sosial untuk semakan eKYC boleh meningkatkan risiko maklumat tersebut disalahgunakan untuk pengawasan.

[Baca laporan penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS