Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang merampas 434 unit basikal elektrik dan 49,580 kilogram (kg) tepung beras serta beras melalui satu pemeriksaan di Pelabuhan Utara di Pelabuhan Klang, Selangor pada 9 Okt lalu.
Pengarah JKDM Pahang, Mohd Asri Seman, berkata rampasan itu dibuat susulan pemeriksaan dan sitaan ke atas kontena yang keadaan mencurigakan di pelabuhan itu.
Dia berkata, bagi rampasan basikal elektrik, JKDM Pahang menjalankan pemeriksaan susulan ke atas kontena bersaiz 40 kaki yang diikrar sebagai basikal, basikal lumba dan basikal kanak-kanak.
"Namun selepas pegawai dan anggota JKDM membuat pemeriksaan, terdapat 434 unit basikal elektrik dan perkara ini jelas menyalahi Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
"Ini kerana untuk mengimport basikal elektrik, mereka perlu mendapat permit import daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti)," katanya dalam sidang media di pejabat JKDM Pahang Cawangan Temerloh, hari ini.
Mohd Asri memaklumkan, setiap unit basikal elektrik dari China itu boleh dijual pada harga sehingga RM1,000.
Katanya, nilai rampasan itu dianggarkan RM272,200 dengan nilai duti dan cukai sebanyak RM127,981.
Sementara itu, bagi kes membabitkan rampasan tepung beras dan beras, Mohd Asri berkata, komoditi itu dipercayai dibawa dari India untuk kegunaan kedai makan di sekitar Lembah Klang.
"Nilai rampasan tepung beras dianggarkan RM23,940 manakala bagi beras pula, kami anggarkan bernilai RM832,000.
"Nilai cukai dan duti bagi kedua-dua rampasan itu pula kira-kira RM332,800.
"Beras dan tepung yang disita adalah bahan larangan import mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan perlu mendapat permit daripada Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, selain tertakluk kepada kelulusan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia," jelasnya.
Mohd Asri memberitahu, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.
Dalam perkembangan lain, dia turut berkongsi kejayaan JKDM Pahang merampas 2.2 juta batang rokok putih tidak berkastam hasil penahanan sebuah lori dipandu warga Myamar di sekitar Johan Setia, dekat Klang, Selangor, pada 19 Okt lalu.
Katanya, nilai rampasan rokok itu dianggarkan RM182,272 dengan nilai duti import sekitar RM456,000.
"Pemandu lori berusia 38 tahun itu sudah didakwa mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 di mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara setahun.
"Mahkamah juga mengarahkan tertuduh membayar semula duti import kepada Ketua Pengarah JKDM, selaras peruntukan Seksyen 119 akta sama," katanya.
