Parti Solidariti Tanah Airku (Star) telah mengisytiharkan bahawa ia akan kekal dalam blok pembangkang walaupun salah seorang Adunnya dilantik sebagai pembantu menteri dalam kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Menjelaskan situasi itu, Presiden Star, Jeffrey Kitingan berkata pelantikan Adun Bingkor, Ishak Ayub sebagai pembantu menteri adalah keputusan langsung oleh Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, bukan hasil rundingan parti.
“Beliau (Ishak) adalah wakil rakyat yang dipilih untuk Bingkor dan kami menghormati hak beliau dalam menerima peranan tersebut,” kata Jeffrey dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah yang baru sahaja selesai, Star memenangi dua kerusi – dengan Jeffrey kekal di Tambunan manakala Ishak memenangi Bingkor.
Untuk rekod, Star dan Perikatan Nasional (PN) telah menawarkan untuk menyokong kerajaan baru Hajiji sebelum ini.
Sementara itu, Jeffrey berkata partinya akan bertindak sebagai “pembangkang yang bertanggungjawab”, menyokong dasar-dasar yang mempertahankan hak Sabah dan menentang sebarang percubaan untuk menjejaskan Perjanjian Malaysia 1963, autonomi negeri, atau Perlembagaan Persekutuan.
“Star akan meneruskan tugasnya dengan integriti, disiplin, dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Sabah dan rakyatnya,” tambahnya.
Jeffrey juga berhujah bahawa Sabah harus ditadbir oleh parti-parti yang berpangkalan di Sabah, bebas daripada pengaruh politik yang didorong oleh Semenanjung.
Terdahulu, dilaporkan bahawa beberapa ahli GRS dan Adun bebas tidak senang dengan kemasukan pemimpin parti yang berpangkalan di Semenanjung ke dalam kabinet negeri.
Ini berlaku selepas Jafry Ariffin dari Umno dilantik sebagai menteri pelancongan Sabah, manakala Jamawi Ja’afar dari PKR diberikan portfolio pertanian negeri.
PRN Sabah ke-17 menyaksikan GRS memperoleh 29 daripada 73 kerusi DUN dipertandingkan, Warisan (25), Barisan Nasional (enam), Bebas (lima), Upko (tiga), Star (dua) manakala Perikatan Nasional, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat dan Pakatan Harapan masing-masing satu kerusi.
Pada awal pagi Ahad lepas, Pengerusi GRS Hajiji Noor mengangkat sumpah jawatan sebagai ketua menteri ke-17, manakala sembilan lagi Ahli Dewan Undangan Negeri mengangkat sumpah sebagai anggota kabinet negeri di Istana Seri Kinabalu.
