Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shafie nafi Warisan cuba beli Adun
Diterbitkan:  Dec 2, 2025 4:21 PM
Dikemaskini: 8:21 AM

Presiden Warisan Shafie Apdal menafikan dakwaan bahawa partinya cuba membeli atau memujuk Adun, menyifatkannya tidak berasas dan bertentangan dengan prinsip parti.

Shafie berkata tindakan Warisan kekal berlandaskan integriti dan menghormati mandat demokrasi Sabah.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa Warisan sedang berusaha membeli atau memujuk Adun.

"Komitmen kami sentiasa berteraskan integriti dan kepimpinan mesti diperoleh melalui kepercayaan rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas ketua menteri Sabah itu turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang menyokong Warisan dalam pilihan raya negeri baru-baru ini.

“Warisan menghormati mandat rakyat dan proses demokrasi yang menjadi asas pentadbiran negeri kita.

"Kami akan terus melaksanakan peranan yang telah diamanahkan kepada kami dengan penuh maruah, konsisten dan dengan iltizam yang tidak berbelah bahagi untuk berkhidmat kepada Sabah," tambahnya.

Warisan muncul sebagai parti tunggal yang menang paling banyak kerusi dalam PRN Sabah hujung minggu lalu, selepas memenangi 25 daripada 73 kerusi.

Namun, ia gagal membentuk kerajaan, dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh 29 kerusi dan mendapat sokongan daripada BN (enam kerusi), Upko (tiga), Pakatan Harapan (satu) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (satu).

Parti Solidariti Tanah Airku (Star), yang memenangi dua kerusi dan Perikatan Nasional (satu kerusi) telah menawarkan sokongan mereka kepada GRS.

Namun, Star kemudiannya memutuskan untuk tidak menyertai kerajaan negeri walaupun salah seorang Adunnya, Ishak Ayub, dilantik sebagai pembantu menteri.

Terdahulu, sebuah portal berita mendakwa bahawa Shafie telah berbincang dengan pemimpin BN dan lima Adun bebas di sebuah hotel di Kota Kinabalu.

Laporan itu mendakwa Shafie dan seorang ahli perniagaan tempatan cuba mengatur pembelian wakil rakyat, didakwa menawarkan RM10 juta setiap orang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS