Mahkamah Sesyen Ipoh semalam memutuskan bekas ketua Amanah Kawasan Marang, Miqdad Zakaria, perlu membayar RM306,000 kepada penceramah bebas Ahmad Dusuki Abd Rani.
Hakim Norashima Khalid memutuskan demikian selepas Dusuki berjaya membuktikan dirinya difitnah melalui satu kenyataan media sosial tujuh tahun lalu.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah meneliti keseluruhan keterangan sepanjang prosiding lebih 40 jam, menurut kenyataan Pertubuhan Pendukung dan Pencinta Ualama (Geng Ustaz).
Peguam Dusuki, Jamil Yaacob berkata empat saksi tampil memberi keterangan, termasuk Ahli Lajnah Tahqiq Hadith KDN, Prof Madya Najahuddin Lateh bagi pihak plaintif, serta Naib Canselor UniSIRAJ, Prof Rozaimi Ramle bagi pihak defendan.
"Kes berkenaan berpunca daripada kenyataan terbuka Miqdad di media sosial bertarikh 28 April 2018, yang mendakwa bahawa Ustaz Ahmad Dusuki gemar menyebarkan hadis tidak sahih," katanya.

Tambahnya mahkamah dalam penghakiman semalam memutuskan plaintif berjaya membuktikan berlaku fitnah terhadap dirinya.
"Sehubungan itu, Miqdad diperintahkan membayar kos berjumlah RM6,000 dan ganti rugi sebanyak RM300,000, selain perlu membuat permohonan maaf secara terbuka seperti dituntut plaintif," katanya.
Miqdad, yang juga anak saudara Presiden PAS Abdul Hadi Awang, diwakili peguam Faiz Fadzil.
Pada catatan di Facebook semalam, Miqdad mengakui kekalahan dalam kes itu tetapi berkata dia akan mengemukakan rayuan.
