Beberapa Adun Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang sebelum ini meluahkan rasa kecewa terhadap komposisi kerajaan negeri terutamanya berhubung kemasukan pemimpin parti berpangkalan di semenanjung dalam kabinet negeri yang baru kini dilantik sebagai pembantu menteri.
Mereka mengangkat sumpah di Istana Seri Kinabalu sebelum ini. Majlis yang disaksikan oleh Yang Di-Pertua Negeri Sabah Musa Aman dan dihadiri oleh Ketua Menteri Hajiji Noor melibatkan pelantikan 17 pembantu menteri dan enam Adun lantikan.
Portfolio mereka masih belum diumumkan, tetapi pelantikan itu merupakan langkah mengukuhkan pentadbiran baru Sabah selepas pelbagai desas-desus sejak 48 jam lalu.
Antara yang sebelum ini merupakan pengkritik dan seterusnya mengangkat sumpah ialah Adun Pitas Ruddy Awah, Adun Klias Isnin Aliasnih, dan Aduan Kuala Penyu Limus Jury.
Mereka dilantik bersama pemimpin GRS yang telah lama berkhidmat seperti Joniston Bangkuai, Juil Nuatim, Hendrus Anding dan Ben Chong.
Beberapa Adun bebas juga dibawa masuk ke dalam pentadbiran negeri – Fairuz Renddan dari Pintasan, Rina Jainal dari Kukusan, Maijol Mahap dari Bandau dan Jordan Jude Ellron dari Tulid, yang semuanya bertanding dengan tidak mewakili parti lama mereka atau muncul sebagai pemenang dalam saingan sengit.
Majlis itu juga menyaksikan pelantikan enam Adun lantikan - termasuk peguam Roger Chin.
Ahli profesional dan tokoh politik seperti Razali Razi, Abdul Kassim Razali, Chin Shu Ying dan Grace Lee Li Mei, bersama Caesar Mandela Malakun, turut mengangkat sumpah sebagai pembantu menteri.
Pelantikan ini hadir ketika sekumpulan kecil Adun GRS kelihatan mempersoalkan sama ada barisan kabinet selaras dengan mesej gabungan yang mendahulukan Sabah.
Perbincangan itu mendorong Timbalan Setiausaha Agung GRS, Armizan Ali, untuk mengeluarkan peringatan awam bagi mengelakkan ketidakstabilan kerajaan melalui pesanan tidak langsung atau spekulasi WhatsApp.
Hajiji kini mendapat sokongan 46 Adun dalam dewan undangan negeri yang mempunyai 73 kerusi.
Dengan para pembantu menteri sudah mengangkat sumpah, perhatian beralih kepada pengumuman portfolio masing-masing.
