Pihak polis tetap meneruskan siasatan berhubung kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat, meskipun kerajaan merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan bayaran ganti rugi RM37 juta kepada keluarga pastor berkenaan.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata siasatan terhadap kehilangan mereka tidak pernah dihentikan oleh pihak polis.
Oleh itu katanya, arahan mahkamah supaya membuka kembali kes berkenaan tidak membawa apa-apa perubahan.
Saifuddin berkata, kerajaan perlu mengemukakan rayuan kerana jumlah yang diarahkan mahkamah boleh memberi implikasi kewangan.

"Pihak polis meneruskan siasatan...siasatan pihak polis tak pernah terhenti, tak pernah tutup kes itu.
"Kita tahu keputusan mahkamah mengenai Pastor Koh yang mengkehendaki polis untuk membawa Pastor Koh itu ke khalayak umum, di mana kegagalan berbuat demikian bermakna pihak kerajaan dikenakan bayaran RM10,000 sehari.
"Ini kita sedia maklum, pihak AGC telah mengumumkan rayuan sebab ia membabitkan implikasi kewangan yang berat," katanya pada sidang media selepas Majlis Simposium Suruhajaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) di Kuala Lumpur hari ini.
Pada 5 Nov lepas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Su Tiang membenarkan saman difailkan Liew dan mengarahkan kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendepositkan wang berkenaan ke dalam akaun pemegang amanah sehingga keberadaan Koh dikenal pasti atau didedahkan.
Wang itu membabitkan ganti rugi am sebanyak RM10,000 sehari dari 13 Feb 2017 (tarikh Koh diculik) sehingga keberadaan Koh didedahkan, ganti rugi RM1 juta dan ganti rugi teladan RM1 juta.
Dalam dokumen yang difailkan Liew pada 28 Nov lepas, pemohon turut meminta agar dua institusi kewangan iaitu PB Trustee Services Berhad dan Amanah Raya Berhad dilantik sebagai pemegang amanah sekiranya mahkamah tidak melantik firma guaman itu.
Menerusi afidavit sokongan, Liew, 69, berkata dia dengan persetujuan bersama tiga anaknya, Jonathan Koh Szu Hao, 41, Esther Koh Sze Ern, 40, dan Elizabeth Koh Sze Wei, 29, memohon agar mahkamah melantik Tetuan Jerald Gomez sebagai pemegang amanah untuk memegang akaun amanah yang menjana faedah.
Mahkamah juga mengarahkan supaya siasatan kes berkenaan dibuka semula.
Terdahulu hari ini, isteri kepada paderi Raymond Koh memohon agar firma guaman yang mewakilinya Tetuan Jerald Gomez & Associates dilantik sebagai pemegang amanah untuk menerima ganti rugi berjumlah lebih RM31 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Datuk Jerald Gomez yang mewakili isteri Koh, Susanna Liew Sow Yoke ketika prosiding pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Su Tiang Joo hari ini yang turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Nurul Farhana Khalid, mewakili kerajaan dan polis.
