Perdana menteri (PMX) baru sahaja dilaporkan memberikan bayangan tidak ada rombakan kabinet besar-besaran yang akan dilakukan di sebalik desas-desus rombakan besar-besaran yang disebarkan sebelum ini.
Jawatan dan lantikan sebagai menteri kabinet, tanpa ragu, merupakan kuasa prerogatif perdana menteri. Akhbar melaporkan, PMX membayangkan hanya beberapa kekosongan menteri seperti portfolio ekonomi; sumber asli dan kelestarian alam; pembangunan usahawan dan koperasi; dan pelaburan, perdagangan dan industri.
Kekosongan jawatan itu berlaku sama ada melalui peletakan jawatan mahupun tamat tempoh senator. Selain itu, portfolio pendidikan tinggi; dalam negeri; dan hal ehwal agama pula akan berlaku kekosongan disebabkan tamat tempoh senator bagi penggal pertama. Penyandangnya masih mempunyai peluang untuk dilantik semula atau ditukar portfolio.
Sekali imbas, tidak ada masalah besar terhadap bayangan yang diberikan oleh PMX atas kapasiti prerogatif beliau. Bagaimanapun, adakah PMX dan kerajaan Madani yang diterajui oleh Pakatan Harapan bersedia untuk memasuki pilihan raya ke-16 tanpa rejuvenasi dan tanpa mahu mendengar keluh kesah rakyat terbanyak?
Mustahil para penasihat dan pegawai khas PMX tidak melaporkan tentang sentimen yang bertebaran terkait segelintir anggota kabinet beliau yang kontroversi, yang dilihat tidak kompeten dan tidak memenuhi harapan pengundi yang mahukan reformasi menyeluruh.
Atau barangkali PMX sendiri tidak sempat untuk menelusuri media sosial dan media perdana dek kerana kesibukan menguruskan perihal makro negara, lalu meninggalkan hal-hal mikro kepada soldadu di bawah.
Jika begitu, maka tanggungjawab ini kembali kepada penasihat dan pegawai khas, laksanakanlah tugasan dan tanggungjawab anda dengan sebaiknya. Nasihati dengan kebenaran dan kesabaran, bukan dengan kepalsuan dan keselesaan.
Kami bukan ahli politik, dan bukan juga anggota mana-mana parti politik. Kami hanya rakyat yang bekerja sebagai ahli akademik, yang mendambakan reformasi terhadap negara setelah sekian lama terperangkap dalam kitaran ganas korupsi dan ketidakcekapan pengurusan.
Bawah kerajaan Madani yang diterajui oleh PMX, ada sinar terjengah (di sebalik beberapa kontroversi juga), lalu kami bersedia menumpahkan segenap tenaga dan idea dan setia bagi merealisasikan perubahan.
Biar lambat, asal selamat. Biar perlahan, tetapi pasti dilaksanakan. Ya, reformasi memang perlahan. Kalau pantas dan radikal itu revolusi. Kita di sini mahukan reformasi, bukan revolusi yang mengejutkan.
Kembali kepada persoalan awal yang diwacanakan di sini, benarkah PMX tidak berhasrat melakukan rombakan kabinet secara besar-besaran? Hanya kerana tempoh berbaki kurang lebih satu tahun setengah, maka perubahan besar tidak perlu dilakukan?
18 bulan yang panjang
Wahai tuan perdana menteri yang dihormati dan dikasihi, tempoh 18 bulan itu adalah tempoh yang panjang bagi kembali memenangi hati dan fikiran rakyat. Setidak-tidaknya ada satu lagi pengumuman belanjawan, jika tidak dua. Ada pilihan raya negeri dijalankan sebelum PRU kelak.
Juseru, apakah PMX begitu yakin untuk tidak melaksanakan rombakan dan menyusun semula kabinet ini? (Sekadar memetik dan mengimbau sekian banyak peristiwa dalam akhbar sejak tiga tahun kebelakangan ini.)
Pertama, menteri hal ehwal agama yang pernah cuba untuk membentangkan rang undang-undang yang melibatkan definisi Ahli Sunnah wal Jamaah sehingga berlakunya kegusaran umat Islam sehingga menuntut campur tangan perdana menteri. Itu hanya satu contoh.
Kemudian, di portfolio pendidikan, apakah sudah terlaksana cita-cita seperti yang diingini, oleh PMX dan cadangan masyarakat awam? Dalam pelancongan, sering muncul dengan kontroversi dan mengundang kemarahan awam.
Bukanlah tulisan kerdil ini berupaya untuk mempengaruhi seorang pemimpin tertinggi negara ini untuk melaksanakan keputusannya. Tulisan ini sendiri berisiko untuk ditegur dan diserang selepas ini, secara rasmi dan tidak rasmi.
Namun, atas kepercayaan dan keyakinan terhadap kebebasan akademik yang dijanjikan, kami terus menyuarakan apa-apa yang terbuku di hati dan menterjemahkan apa-apa yang berlaku dalam dunia realiti.
Bukan juga tulisan ini menyarankan untuk membuang atau menyingkirkan mana-mana pihak. Yang diinginkan hanyalah penyusunan semula, satu usaha untuk menyegarkan barisan kabinet ini menjelang pilihan raya akan datang.
Sebagai perdana menteri, PMX mempunyai pilihan untuk mengoptimumkan kuasa yang ada atau bersedia untuk menempuh cabaran lebih getir dalam pertandingan yang akan datang.
Kuasa prerogatif perdana menteri bukannya sentuhan Midas, tetapi sekurang-kurangnya memberikan nafas semula kepada cita-cita reformasi yang tersisa ini.
SAHUL HAMID MOHAMED MAIDDIN adalah pensyarah kanan Jabatan Sejarah di sebuah universiti awam.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
