Hujan lebat menyambut Rajeswari Subramaniam ketika dia bergegas menaiki motosikal ke hospital. Jantungnya berdebar-debar dan mindanya dipenuhi ketakutan.
Suaminya, Manisegaran Mohan, ditahan di balai polis. Namun, ketika tiba, yang menantinya hanyalah kekeliruan.
Rajeswari, 37, berkongsi pengalaman traumatiknya selepas suami yang bekerja sebagai pemandu lori didakwa meninggal dunia ketika berada dalam tahanan polis pada 22 Februari.
"Pada malam itu, lebih kurang 8.20 malam, suami saya telefon kata baru sampai ke Bandar Sunway dari Johor dan akan pulang ke rumah.
“Tidak sampai 20 minit, saya terima panggilan daripada suami dan kali ini seorang pegawai polis yang memaklumkan dia ditahan.
"Bila ditanya apa sebabnya, saya diminta ke Balai Sunway," katanya.

Dalam keadaan bingung, Rajeswari pergi ke Balai Polis Sungai Way, tetapi diarahkan ke Balai Polis Sunway. Setibanya jam 9.50 malam, motosikal suaminya sudah berada di situ, tetapi dia mendakwa tidak dibenarkan masuk.
Tiga pegawai polis menegaskan supaya dia menunggu di luar.
Tidak lama kemudian, dia berkata melihat ambulans keluar membawa suaminya menggunakan pengusung.
Rajeswari minta dibenarkan mengikuti ambulans tersebut, tetapi pegawai polis didakwa menolaknya.
Hampir sejam kemudian, seorang pegawai memaklumkan suaminya dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Hujan lebat dan jalan licin menyebabkan dia lewat hampir sejam untuk sampai ke hospital. Setibanya, dia hanya melihat MyKad suaminya di kaunter, masih tidak dibenarkan berjumpa.
Mengimbas kembali malam yang ngeri itu, dia berkata selepas hampir sejam, dua doktor menghampirinya dan memberitahu bahawa suaminya telah meninggal dunia.
"Saya masih tidak percaya. Pada 8.20 malam dia kata nak pulang rumah, tak sampai dua jam doktor kata dia mati," katanya.
Apabila dibenarkan melihat suaminya, yang ketika itu berumur 41 tahun, Rajeswari mendakwa melihat kecederaan di dada, dua gigi patah, dan ada darah di mata.
"Saya yakin kecederaan di dada baru berlaku. Giginya patah dan masih berada dalam mulut. Mata berdarah," katanya sambil mengambil gambar sebagai rekod.

Rajeswari segera meminta bedah siasat dijalankan.
Anak masih belajar, paling kecil 4 tahun
Rajeswari dan Manisegaran berkahwin pada 2005 dan menetap di Kapar, Selangor. Mereka mempunyai enam anak kandung dan empat anak angkat–yang sulung 17 tahun dan si bongsu empat tahun.
"Saya dulu suri rumah. Dia pergi ke kerja. Dan saya menjaga rumah. Tetapi, kini saya terpaksa kerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM1,500 sebulan.
"Saya sedih dan marah dengan misteri kematian suami saya. Tetapi, saya perlu menanggung keluarga saya.
"Kesemua anak-anak saya masih belajar," katanya.
Mengimbas kembali pengalaman ngeri itu, pada 23 Feb, Rajeswari mendakwa seorang doktor warga asing yang membuat bedah siasat berkata kematian mungkin sakit jantung.
Namun untuk laporan penuh, dia perlu menunggu empat bulan.
Katanya, apabila ditanya mengenai kecederaan dada dan gigi patah, doktor itu berkata ia mungkin akibat bantuan pernafasan kecemasan CPR atau tekanan jantung.
"Jawapan itu bercanggah dengan laporan pegawai ambulans dan doktor di PPUM yang beritahu saya, CPR tidak dibuat.
"Pegawai ambulans dan doktor yang memberi rawatan kecemasan memberitahu bahawa suami saya memang brought in dead (kes dibawa mati).
"Walaupun, saya tidak percaya suami saya meninggal dunia akibat sakit jantung, saya mengambil keputusan untuk menunggu laporan penuh bedah siasat," katanya.
Dalam sijil kematian punca kematian hanya mencatatkan pending further investigation (menunggu siasatan lanjut).
Sementara, sijil kematian itu menyatakan tempat kematian sebagai: "Kes dibawa mati ke PPUM" yang membawa maksud individu mati sebelum dibawa ke hospital.
Tiga punca kematian?
Pada Jun, keluarga berjumpa doktor itu semula untuk mendapatkan laporan penuh bedah siasat.
Menurut Rajeswari, melalui jurubahasa, doktor itu memberi tiga sebab punca kematian.
"Pada awalnya, dia berkata suami saya meninggal dunia akibat panau. Bila saya marah dia, dia mendakwa suami saya menggunakan tiga jenis dadah.
"Bila saya marah dia lagi, dia tukar lagi sebab kematian. Kali ini dia kata, suami saya meninggal dunia akibat cecair di paru-paru.

Rajeswari menolak semua dakwaan itu.
"Suami saya ada panau lebih 20 tahun, tapi tidak pernah serius, dan saya tidak pernah dengar orang mati kerana panau.
"Dia juga seorang yang sihat dan aktif. Hanya ada tabiat merokok dan minum bir," katanya.
Dia kemudian terus berlalu tanpa menandatangani apa-apa borang kerana tidak berpuas hati dengan penjelasan doktor.
Bagaimanapun dalam perkembangan terbaru, Rajeswari mengesahkan bahawa dia telah menghubungi semula hospital untuk mendapatkan laporan bedah siasat, atas nasihat peguamnya yang baru dilantik.
Dia dijangka perlu menunggu beberapa bulan lagi untuk mendapatkannya.
Malaysiakini tidak boleh mengesahkan dakwaan Rajeswari.
Sementara itu, Rajeswari juga mendakwa mengalami masalah untuk membuat tuntutan insurans susulan kematian suaminya.
Dia berkata pihak insurans mahukan surat pengesahan kematian daripada polis tetapi tidak mendapat kerjasama.
"Seorang pegawai memberitahu saya bahawa kes kematian suami saya kini diuruskan oleh Bukit Aman. Dia juga membantu saya menghubungi pegawai penyiasat dari Bukit Aman.
“Dalam perbualan, pegawai itu mengesahkan bahawa kes kematian masih disiasat.
"Ketika ditanya mengenai surat pengakuan kematian untuk tuntutan insurans, dia berkata hanya boleh diperolehi pada Ogos.
"Sehingga kini, panggilan saya tidak dijawab oleh pegawai itu," katanya.
Mohon campur tangan menteri
Dia kini menunggu lebih sembilan bulan untuk mengetahui misteri kematian suaminya meminta Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution untuk campur tangan.
"Saya nak tahu apa berlaku di balai, kenapa suami saya cedera, dan kenapa CPR tidak dilakukan. Anak-anak saya perlukan jawapan.
"Setiap langkah saya ambil demi kebenaran dan masa depan anak-anak. Saya ingin memastikan mereka tidak hidup dalam kekeliruan dan kehilangan sokongan.
"Harap menteri membantu saya," katanya.
Usaha Malaysiakini menghubungi pihak polis untuk mendapatkan komen tidak berjaya.
