Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli tampil dengan teguran lantang menyelar Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung dasar antirasuah kerajaan — isu yang disifatkannya sebagai punca utama kekalahan teruk Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 November lalu.
Dalam satu kenyataan hari ini, bekas menteri ekonomi itu berkata keputusan pilihan raya itu sudah memberikan “diagnosis awal” yang jelas: pengundi, khususnya kelas menengah yang selama ini menjadi tonggak PH, semakin tawar hati terhadap prestasi reformasi dan pembaharuan kerajaan.
Menurut Rafizi, data kaji selidik sejak 2024 berulang kali menunjukkan kebimbangan terhadap usaha memerangi rasuah adalah kritikan paling konsisten terhadap kerajaan perpaduan.
“Di sebalik ucapan dan berita mengenai usaha mencegah rasuah, rakyat tidak merasai perubahan itu dengan cepat,” katanya sambil menambah statistik sabitan rasuah turut menunjukkan kemerosotan.
Dia merujuk angka penurunan peratusan pertuduhan berbanding kertas siasatan yang dibuka — daripada 56 peratus pada 2020 kepada hanya 39 peratus pada 2024. Sabitan bersalah turut menyusut, daripada 300 kes (36 peratus) pada 2021 kepada hanya 256 kes (22 peratus) tahun lalu.
“Tambahan pula, ada kes-kes berprofil tinggi berakhir dengan DNAA, digugurkan, atau tertuduh dilepaskan selepas membayar kompaun,” katanya.

Rafizi turut mempersoalkan jawapan kerajaan terhadap soalannya di Parlimen minggu ini mengenai kedudukan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.
“Jawapan kerajaan kabur, sama seperti surat sokongan bekas setiausaha politik Perdana Menteri,” sindirnya.
Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat Isnin lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said memetik Peraturan Mesyuarat 23(1)(h) Dewan Rakyat sebagai alasan untuk tidak menjawab soalan yang dikemukakan oleh Rafizi.
“Selaras dengan Peraturan Mesyuarat 23(1)(h), soalan berkaitan cadangan atau rancangan masa depan yang bersifat spekulatif adalah tidak sesuai untuk diberikan jawapan khusus kerana ia melibatkan perkara yang ‘belum lagi menjadi masalah’ atau bersifat spekulatif semata-mata,” katanya.

Mengulas lanjut Rafizi yang juga adalah bekas timbalan presiden PKR berkata, isu sambungan kontrak Azam Baki bukan sekadar soal pentadbiran, tetapi kayu ukur kepada komitmen sebenar Anwar dalam memerangi rasuah.
“Bukan dua kali. Bukan tiga kali. Tetapi empat kali,” katanya, merujuk kemungkinan kontrak itu disambung lagi.
Jika itu berlaku, kata Rafizi, imej PKR dan PH sebagai parti yang tegas melawan rasuah akan terus tercemar.
“Dengan pelbagai kontroversi membabitkan nama beliau, sudah sampai masanya kontrak itu tidak disambung lagi,” katanya.
Ditanya apakah langkah segera PH selepas kekalahan di Sabah, Rafizi menyatakan jawapannya “mudah dan jelas” - mulakan dengan membina kembali kredibiliti melawan rasuah.

“Mulakan dengan melantik ketua pesuruhjaya SPRM yang baru,” katanya tegas.
Dia mengakui suaranya mungkin tidak cukup kuat untuk menggerakkan perubahan, dan mencadangkan agar pimpinan PH lain turut bersuara secara terbuka.
“Lebih baik jika Nurul Izzah juga desak secara terbuka. Lebih baik lagi jika Anthony Loke dan DAP juga desak secara terbuka,” katanya.
Menurut Rafizi, hanya tekanan bersama daripada pimpinan utama PH mampu mengubah hala tuju kerajaan dan memulihkan keyakinan rakyat.
