SPRM mengesahkan bahawa ahli perniagaan Albert Tei dan Shamsul Iskandar Mohd Akin, bekas pembantu politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim, akan didakwa di dua mahkamah berasingan atas tuduhan menawar dan menerima rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata Tei dan Shamsul masing-masing akan menghadapi lima pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 atas kesalahan memberi dan menerima rasuah.

“(Bagi Tei), dia akan didakwa dengan empat pertuduhan di bawah Seksyen 17(a) kerana menawarkan rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan satu pertuduhan yang sama di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat.
“Manakala Shamsul pula akan didakwa dengan empat pertuduhan di bawah Seksyen 17(b) kerana menerima rasuah di mahkamah Kuala Lumpur esok (Khamis) dan satu pertuduhan yang sama di mahkamah Shah Alam pada hari berikutnya (Jumaat),” katanya pada sidang media hari ini.
Sebelum ini, Azam mengesahkan Tei, Shamsul, dan seorang wanita yang dikenali sebagai Sofia Rini Buyong telah ditahan pada 28 Nov bagi membantu siasatan, susulan tuduhan terbaru ahli perniagaan itu terhadap pengerusi PKR Melaka tersebut tiga hari sebelumnya.
Azam menambah, Sofia tidak akan menghadapi pertuduhan di mahkamah kerana dia telah diklasifikasikan semula sebagai saksi SPRM dalam kes ini.

Katanya, SPRM telah membekukan ratusan ribu ringgit yang dikesan sepanjang siasatan mereka ke atas kes ini, dan wang tersebut kini dianggap sebagai bahan bukti.
Sementara itu, Azam turut menegaskan bahawa Tei tidak diiktiraf sebagai pemberi maklumat (whistleblower) kerana dakwaan penglibatannya dalam memudah cara rasuah dalam kes ini.
Katanya, meskipun seseorang yang memudah cara jenayah tampil membuat laporan kepada pihak penguatkuasaan undang-undang, mereka tidak boleh dianggap atau diiktiraf sebagai pemberi maklumat yang dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, disebabkan penglibatan mereka dalam kes tersebut.
Tei dilaporkan sedang dalam usaha keras 'menjatuhkan' ahli-ahli politik yang didakwanya disogok wang untuk mendapatkan lesen penerokaan mineral, yang akhirnya tidak berjaya diperolehnya.

Dia mendakwa telah membelanjakan RM629,000 setelah diyakinkan bahawa Shamsul boleh membantu mendapatkan semula wang yang disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah itu.
Selain membiayai pengubahsuaian, perkakas, dan perabot untuk dua hartanah, Tei mendakwa dia telah membelanjakan ribuan ringgit untuk cerut premium dan sut yang ditempah khas untuk Shamsul, yang juga didakwa meminta wang daripada ahli perniagaan itu semasa dia melancong ke luar negara.
