Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis rujuk siasatan terhadap ketua pemuda PAS Perak kepada AGC
Diterbitkan:  Dec 3, 2025 1:28 PM
Dikemaskini: 5:28 AM

Polis telah merujuk kertas siasatannya kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung hantaran media sosial seorang wakil rakyat PAS berkaitan cubaan serangan terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, pada Ogos lalu.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bahawa polis telah menyerahkan kertas siasatan berhubung dakwaan Adun Manjoi, Hafez Sabri, yang mendakwa wanita terlibat dalam insiden itu berketurunan Cina.

Menurutnya kertas itu dirujuk kepada AGC pada 10 September selepas polis merakam keterangan beberapa saksi, dengan siasatan dimulakan pada 1 September berikutan satu laporan polis.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,” kata Saifuddin dalam jawapan bertulis di Parlimen semalam.

Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan melibatkan kenyataan yang boleh menimbulkan ketakutan atau kegentaran awam, manakala Seksyen 233 AKM pula berkaitan penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian.

Saifuddin menjawab soalan Ahli Parlimen DAP, RSN Rayer, yang meminta penjelasan mengenai tindakan polis terhadap Hafez berhubung hantaran dalam talian tersebut.

Pada 3 September, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam keterangan Hafez, yang juga Ketua Pemuda PAS Perak, berhubung hantaran berkenaan yang disifatkan oleh suruhanjaya itu sebagai palsu dan “berunsur perkauman”.

Sebelum itu, Pemuda DAP Pulau Pinang dan Negeri Sembilan turut membuat laporan polis dan menggesa pihak berkuasa menyiasat Hafez.

Sebagai respon, Hafez mendakwa hantaran Facebooknya, yang menyatakan kaum suspek dalam serangan terhadap Sultan Nazrin, dibuat berdasarkan “maklumat awal” yang diterimanya.

Menurutnya dia telah membetulkan hantaran asal itu “beberapa minit” selepas ia dikongsikan, dan mendakwa pihak tidak bertanggungjawab telah menyebarkan tangkap layar versi awal hantaran tersebut untuk memburukkan dirinya.

Ini selepas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar, mengesahkan bahawa individu yang ditahan ialah seorang wanita Melayu berusia 41 tahun.

Wanita tersebut, Nurhaswani Afni Zorki, didakwa pada 8 September di Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah terhadap Sultan Perak ketika perarakan Hari Kebangsaan di Ipoh.

Pada ketika itu, tiada pengakuan direkodkan kerana tertuduh diperintahkan menjalani penilaian dan pemerhatian psikiatri selama sebulan di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Pada 8 Oktober, timbalan pendakwa raya memaklumkan mahkamah bahawa laporan dari Hospital Bahagia Tanjung Rambutan menyatakan bahawa Nurhaswani menghidap skizofrenia dan tidak berada dalam keadaan waras semasa kejadian.

Namun, dia telah menerima rawatan dan kini disahkan layak untuk dibicarakan. Mahkamah menetapkan 8 Disember untuk sebutan kes dan lantikan peguam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS