PARLIMEN | Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi mencadangkan beberapa pindaan terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), selepas mengadakan beberapa siri mesyuarat dengan pihak berkepentingan.
Pengerusinya, William Leong (PH–Selayang) berkata lapan syor strategik yang dikemukakan jawatankuasa itu bertujuan menambah baik pelaksanaan akta tersebut pada masa akan datang.
Secara khusus, jawatankuasa itu mengesyorkan kerajaan meneliti semula Seksyen 13 Sosma, yang mengehadkan hak permohonan jaminan, kerana ia “bercanggah dengan prinsip kebebasan dan hak asasi manusia.”
"Sebarang pindaan (kepada Seksyen 13) hendaklah dilaksanakan dengan berhati-hati supaya tidak menjejaskan keupayaan negara dalam mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam,” kata Leong ketika membentangkan laporan jawatankuasa tersebut di Dewan Rakyat hari ini.
Jawatankuasa itu turut menggesa kerajaan mengkaji semula Seksyen 4(5), iaitu peruntukan melibatkan penahanan selama 28 hari tanpa semakan kehakiman.
"Jawatankuasa mengesyorkan agar Kerajaan mengembalikan kuasa budi bicara mahkamah dalam aspek reman, jamin dan perbicaraan bagi menjamin keseimbangan di antara kepentingan keselamatan negara dengan hak asasi individu” kata Leong.
Pastikan kebajikan tahanan
Selain menyokong kuasa mahkamah menentukan penggunaan Electronic Monitoring Device (EMD), jawatankuasa itu juga mengesyorkan Kementerian Dalam Negeri memastikan kebajikan tahanan terjamin, termasuk hak mendapat makanan mencukupi dan rawatan perubatan sewajarnya selaras dengan piawaian hak asasi manusia.
Jawatankuasa itu turut mencadangkan kerajaan memperhalusi definisi “kesalahan keselamatan, kesalahan keganasan dan jenayah terancang”.
Leong berkata, Kementerian Dalam Negeri juga perlu menetapkan garis masa yang lebih singkat untuk pelaksanaan pindaan terhadap Sosma supaya reformasi undang-undang dapat dilaksanakan dengan telus dan berfasa.

Dia menambah bahawa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, bersama agensi berkaitan, hendaklah menyediakan perkhidmatan sokongan psikologi kerana penahanan di bawah Sosma memberi kesan langsung terhadap kesejahteraan keluarga.
Laporan jawatankuasa itu, yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 20 November, disiapkan selepas sesi libat urus dengan Suaram, Suhakam dan Kementerian Dalam Negeri.
Isu keadilan, ketelusan
Leong menjelaskan bahawa walaupun Sosma digubal untuk menangani isu keselamatan negara, jenayah terancang, serta ancaman serius yang melibatkan kepentingan awam dan kedaulatan negara, pelaksanaannya menimbulkan banyak persoalan.
Antara kebimbangan tersebut meliputi isu keadilan, ketelusan dan perlindungan hak asasi manusia, termasuk tempoh tahanan sehingga 28 hari tanpa semakan kehakiman, larangan jaminan, serta akses terhad kepada peguam.
"Realiti pelaksanaan akta ini memperlihatkan bahawa kesannya tidak hanya tertumpu kepada individu yang ditahan, tetapi turut merangkumi dimensi lebih luas seperti tekanan psikologi keluarga, ketidakstabilan sosial, risiko penyalahgunaan kuasa dan persepsi terhadap integriti sistem kehakiman.
"Fenomena ini memperlihatkan bagaimana peruntukan undang-undang yang digubal untuk tujuan keselamatan, sekiranya tidak dikawal dengan rapi, berpotensi membawa implikasi yang jauh lebih besar kepada masyarakat, institusi negara dan prinsip keadilan," katanya.
Menurutnya cabaran-cabaran yang dihadapi bukan hanya berkaitan mekanisme tahanan dan siasatan, tetapi juga melibatkan isu struktur seperti keberkesanan semakan kehakiman, hak guaman dan kesan sosioekonomi terhadap keluarga.

Pada 14 Feb, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Dalam Negeri menyemak Sosma selepas kabinet secara prinsip bersetuju bahawa undang-undang itu memerlukan penambahbaikan.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail kemudian berkata kerajaan akan menilai semula senarai kesalahan tidak boleh dijamin dan kesalahan yang boleh diberi jaminan melalui budi bicara mahkamah di bawah Sosma.
Selepas sesi pembentangan itu, pemimpin veteran PKR Hassan Karim (PH–Pasir Gudang) menegaskan bahawa kerajaan bertanggungjawab memansuhkan Sosma kerana PH pernah berjanji untuk berbuat demikian dalam manifesto pilihan raya.
"Kerjaan sekarang ini, di mana PH ada, kita janji dalam manifesto, kita akan mansuhkan (sosma), kalau kita tak mansuhkan, kita gagal laksanakan reformasi sepatutnya,” katanya,.
Dia turut menegaskan bahawa peruntukan undang-undang lain sudah memadai untuk menangani kesalahan yang termaktub di bawah Sosma.
Merujuk kepada Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Keganasan 2015, Hassan berkata tiada keperluan lagi untuk mengekalkan Sosma.
Sebelum ini, Majlis Peguam turut menggesa Sosma dimansuhkan sepenuhnya, dengan Presidennya, Ezri Abdul Wahab, menegaskan bahawa “semakan bersifat kecil-kecilan” tidak akan dapat menyelesaikan “kelemahan asas” undang-undang tersebut.
