Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PARLIMEN | Seorang ahli Parlimen pembangkang hari ini sekali lagi menyuarakan kebimbangan terhadap dakwaan salah laku oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini ketika menahan ahli perniagaan Albert Tei yang membuat tuduhan rasuah terhadap beberapa ahli politik.

Berucap di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen (PN) Hulu Terengganu, Rosol Wahid menegaskan integriti pegawai penguat kuasa amat penting agar undang-undang dapat dikuatkuasakan secara adil.

“Whistleblower Albert Tei, kita lihat macam mana penguatkuasa serbu rumah, dikatakan acukan enam laras pistol untuk ditangkap.

"Padahal temujanji untuk 1 hari bulan (Disember), tapi sudah diserbu.

"Kenapa hal tersebut berlaku? Akan timbulkan banyak persoalan di kalangan rakyat, kenapa hal tersebut berlaku, adakah kerana nama ketua pesuruhjaya (SPRM) dipetik, nama PMX dipetik, nama orang yang mengurus negara dipetik,” soal Rosol.

Dia berkata demikian ketika berbahas cadangan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi hak asasi manusia, pilihan raya dan reformasi institusi mengenai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Rosol menegaskan walaupun insiden melibatkan Tei tidak berkaitan Sosma, ia mencetuskan keraguan terhadap integriti penguatkuasaan.

"Dalam setiap undang-undang, kewibawaan penguatkuasaan adalah satu yang amat penting.

"Jika penguatkuasaa diragui kejujuran dan integritinya, mana mungkin undang-undang itu dapat ditegakkan dengan adil,” katanya.

Pelbagai pihak, termasuk Transparency International Malaysia (TI-M), telah menggesa kerajaan menyiasat dakwaan rasuah yang dibuat Tei serta cara dia ditahan oleh pegawai SPRM di rumahnya pada 28 Nov.

Presiden TI-M, Raymon Ram berkata siasatan itu penting untuk memastikan rasuah dan salah laku tidak dibiarkan, sambil menuntut hasil siasatan didedahkan kepada umum.

Bekas timbalan menteri undang-undang, Hanipa Maidin, turut mengkritik tindakan SPRM menjalankan serbuan menggunakan “taktikal penuh”, mempersoalkan sama ada pendekatan sebegitu perlu, khususnya selepas peguam Tei telah menetapkan tarikh untuk anak guamnya hadir memberi keterangan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, kemudian menafikan dakwaan pegawainya mengacukan senjata kepada Tei ketika tangkapan dibuat.

Sebaliknya, dia menegaskan tangkapan yang dibuat di kediaman ahli perniagaan itu dijalankan mengikut prosedur ditetapkan.

Pada bulan lalu, Tei—yang mendedahkan dakwaan rasuah melibatkan beberapa ahli politik Sabah dalam skandal lesen perlombongan—turut mengaitkan Azam dalam pendedahannya.

Melalui satu rakaman video, seorang wanita bernama Sofia Rini Buyong memberitahu Tei bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim didakwa memberi restu untuk membuat rakaman rahsia terhadap ahli politik Sabah berkenaan.

Dia juga mendakwa bekas setiausaha politik Anwar, Shamsul Iskandar Akin, bertemu Azam pada waktu yang tidak didedahkan untuk meminta ketua SPRM itu “menyelesaikan” kes rasuah Sabah melibatkan Tei—mendorong gesaan agar SPRM dan Azam menarik diri daripada menyiasat Shamsul.

Azam memberitahu sidang media hari ini bahawa Tei dan Shamsul masing-masing akan berdepan lima pertuduhan bawah Akta SPRM 2009 kerana memberi dan menerima rasuah.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS