Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sebabkan kematian: Hukuman penjara bekas pekerja IT dikurangkan ke 12 tahun

Mahkamah Persekutuan hari ini mengurangkan hukuman penjara bekas pekerja teknologi maklumat kepada 12 tahun kerana menyebabkan kematian seorang pengurus bank dalam insiden samseng jalan raya pada 2019 di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Nordin Hassan membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Yew Wei Liang untuk mengurangkan hukuman penjara 16 tahun terhadapnya.

Mahkamah memerintahkan supaya Yew menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 10 Ogos 2019.

Bagaimanapun, panel itu menolak rayuan Yew terhadap sabitannya bagi kesalahan menyebabkan kematian Syed Muhammad Danial Syed Shakir, 29 tahun.

Dalam penghakimannya, Nordin berkata tidak berlaku kekhilafan dalam keputusan Mahkamah Rayuan yang mewajarkan Mahkamah Persekutuan campur tangan.

Turut bersidang Datuk Seri Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Lee Swee Seng.

Yew, 47, telah memohon agar sabitannya digantikan dengan sabitan mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, pendakwaan mengemukakan rayuan balas agar sabitan Yew bagi kesalahan menyebabkan kematian digantikan dengan sabitan bagi kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Yew dituduh melakukan perbuatan itu di Kilometer 293.6 Lebuhraya PLUS (Kuala Lumpur-Seremban) antara 1 tengah hari dan 2 petang pada 10 Ogos 2019.

Pada 2023, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan bahawa Yew bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan serta menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun, dan Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman itu pada Mac lepas.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee berhujah bukti secara konklusif menunjukkan bahawa Yew berniat untuk menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, dan telah memandu keretanya ke arah mangsa serta melanggar mangsa yang sedang melarikan diri, sambil menambah tindakan itu bukan satu kemalangan.

Peguam Datuk N.Sivananthan pula berhujah hukuman penjara 16 tahun adalah keterlaluan merujuk kepada penemuan Mahkamah Rayuan bahawa rakaman video insiden menunjukkan Yew cuba mengundurkan kenderaannya ketika mangsa mengambil kayu besbol dan memukul kereta tertuduh berkali-kali, tindakan yang disifatkan mahkamah sebagai provokasi yang mampu mencetuskan kemarahan mendadak dan mendalam sehingga menyebabkan hilang kawalan diri.

Bercakap kepada media selepas itu, Sivananthan yang dibantu peguam Nabila Habib berkata susulan pengurangan tempoh hukuman penjara, Yew dijangka dibebaskan dari Penjara Kajang pada 2027 dan berasa lega dengan keputusan tersebut.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS