Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gobind akan bangkitkan penahanan Tei dalam kabinet, gesa teliti CCTV

Menteri Digital Gobind Singh Deo dijangka membawa isu berkaitan insiden penahanan ahli perniagaan Albert Tei ke mesyuarat kabinet pada Jumaat ini, susulan pertikaian dua versi kejadian antara isterinya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menteri Digital itu berkata, isteri Tei, Lee Pei Rie, telah membuat laporan polis yang mengandungi beberapa dakwaan mengenai cara suaminya ditahan.

Wanita itu mendakwa pistol diacukan ke arahnya dan suami ketika sepasukan pegawai SPRM yang memakai vest dan balaclava, menyerbu kediaman mereka di Puchong, Selangor, Jumaat lalu.

"SPRM pula telah menafikan dakwaan itu sepenuhnya dan turut membuat laporan polis untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

"Bila ada dua versi berbeza, penting untuk polis menyiasat dengan teliti," kata Gobind kepada Malaysiakini.

Menurutnya cara terpantas untuk menyelesaikan pertikaian itu adalah dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang direkodkan pada waktu kejadian.

"Sekiranya terdapat permohonan agar rakaman itu diserahkan kepada peguam atau polis bagi tujuan pengesahan fakta, ia adalah permintaan yang munasabah.

"Isu ini kembali kepada prinsip ketelusan, dan sekiranya SPRM menafikan dakwaan yang dibuat, penafian itu sewajarnya disokong dengan bukti.

"Rakaman CCTV adalah bukti paling penting untuk menentukan versi mana yang tepat. Apabila ada pertikaian, bukti visual seperti CCTV adalah cara paling objektif untuk merungkai persoalan," katanya.

Bawa perkara itu kepada Saifuddin

Gobind berkata kuasa untuk menyerahkan rakaman berkenaan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Justeru, dia akan membawa perkara itu kepada Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, untuk memastikan tindakan sewajarnya diambil.

"Isu ini perlu ditangani dengan berhati-hati kerana ia melibatkan persepsi awam terhadap integriti agensi penguatkuasaan.

"Kerajaan mempunyai tanggungjawab memastikan proses siasatan berlangsung dengan telus tanpa menjejaskan kepercayaan rakyat.

"Sebarang keraguan terhadap prosedur penahanan harus diselesaikan segera bagi mengelakkan spekulasi berpanjangan," katanya.

Tindak-tanduk pegawai SPRM

Dalam laporan polisnya, Lee menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan suaminya dan menggesa siasatan terhadap tindak-tanduk beberapa pegawai SPRM semasa serbuan.

Dia mendakwa seorang pegawai mengacukan pistol ke arahnya selepas menyedari bahawa dia merakam serbuan itu menggunakan telefon bimbitnya.

Pegawai itu didakwa merampas bukan sahaja telefonnya, tetapi juga telefon ahli keluarga lain di rumah itu, sebelum memadam video pada peranti berkenaan.

Lee turut mendakwa pegawai SPRM telah mengimbas rumahnya menggunakan sebuah peranti elektronik.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, menafikan pegawainya mengacukan senjata semasa menahan Tei dan menegaskan bahawa penahanan itu dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan.

SPRM turut membuat laporan polis berhubung dakwaan tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS