Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azam Baki pertahan SPRM, serbu rumah Tei ikut SOP

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan serbuan serta rampasan beberapa barangan yang dijalankan di rumah ahli perniagaan Albert Tei pada 25 Nov dibuat mengikut undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata Tei telah diberikan senarai barang rampasan ketika serbuan dijalankan, sekali gus menolak dakwaan isteri Tei bahawa tiada senarai sedemikian dikeluarkan.

"Dakwaan itu tidak benar. Pegawai saya sudah serahkan search list (senarai rampasan) lengkap beserta senarai barang kes yang diambil dan saya perlu perbetulkannya," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Pegawai SPRM lengkap dengan peralatan taktikal penuh, termasuk jaket kalis peluru dan bertopeng balaklava, telah menyerbu rumah Tei pada 28 Nov.

Rakaman di luar rumah, menunjukkan Tei digari dan dibawa masuk ke dalam kenderaan sebelum ditahan, turut dirakam peguamnya, Zaid Malek.

Zaid ketika ditemui Malaysiakini pada hari kejadian berkata tiada seorang pun pegawai SPRM atau polis menunjukkan kad kuasa walaupun diminta berulang kali.

Isteri Tei, Lee Pei Rie pula mendakwa SPRM mengacukan pistol kepadanya sebelum menggari suaminya.

Dakwaan ini dinafikan Azam, yang memaklumkan SPRM telah membuat laporan polis terhadap tuduhan itu pada hari sama, sekali gus mendorong Lee membuat laporan polis balas.

“Pegawai kami dilengkapi pelbagai alat rakaman dan semuanya direkodkan.

"Kami turut memiliki rakaman litar tertutup (CCTV) dari rumah (Albert Tei) berkenaan dan ia juga sudah diserahkan kepada polis,” katanya.

SPRM menahan Tei pada 28 Nov, bersama bekas pembantu politik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Shamsul Iskandar Akin, serta seorang wanita bernama Sofia Rini Buyong. Ketiga-tiganya disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009, dengan lebih 32 saksi dipanggil sepanjang siasatan.

SPRM memperoleh perintah reman terhadap Tei dan Shamsul pada 29 Nov. Pada permulaan sidang media hari ini, Azam mengesahkan kedua-duanya akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok dan Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat, manakala Sofia diklasifikasikan semula sebagai saksi dalam kes ini.

Tei sebelum ini mendakwa dia memberikan wang kepada beberapa ahli politik bagi mendapatkan lesen penerokaan mineral — yang akhirnya tidak diperolehnya.

Dia kemudiannya menumpukan dakwaan terhadap Shamsul, mendakwa telah membelanjakan RM629,000 selepas diyakinkan bahawa pemimpin PKR itu mampu membantunya mendapatkan semula wang yang disalurkan kepada beberapa ahli politik Sabah.

Selain menanggung kos pengubahsuaian, peralatan dan kelengkapan dua hartanah, Tei juga mendakwa membelanjakan ribuan ringgit untuk cerut premium dan sut tempahan khas untuk Shamsul, yang didakwa turut meminta wang daripadanya semasa berada di luar negara.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS