Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ramkarpal selar Saifuddin: Jangan hukum sebelum siasatan selesai
Diterbitkan:  Dec 3, 2025 3:46 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, menempelak Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berhubung kenyataan kontroversinya mengenai serbuan di sebuah pusat kesihatan baru-baru ini, dengan menegaskan bahawa individu yang ditahan tidak boleh dijatuhkan hukuman sebelum siasatan lengkap dijalankan.

Menurut Ramkarpal, kenyataan Saifuddin yang menyimpulkan bahawa mereka melakukan perbuatan tidak bermoral bercanggah dengan prinsip asas bahawa seseorang adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

“Saifuddin seharusnya lebih berhati-hati dan tidak membuat apa-apa kesimpulan yang boleh menjejaskan integriti proses siasatan.

“Tambahan pula, pandangan Saifuddin bahawa semakan semula undang-undang reman mungkin diperlukan adalah tidak wajar,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut peguam itu yang pernah menjadi timbalan menteri undang-undang, tempoh maksimum 24 jam untuk membawa tahanan ke hadapan Majistret adalah satu perlindungan penting terhadap penyalahgunaan kuasa.

In kata, adalah untuk memastikan hak kebebasan individu di bawah Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan.

“Cadangan untuk menambahkan tempoh reman tersebut atas alasan ketidakcekapan polis, antara lainnya, adalah tindakan yang tidak berasas dan sewajarnya ditolak,” kata Ramkarpal.

Dia juga mempertahankan peranan Majistret sebagai “semak dan seimbang” bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa.

Tegasnya isu ini berkait rapat dengan kedaulatan undang-undang dan kepentingan memelihara proses keadilan sebagai asas sistem demokrasi.

Ahli Parlimen DAP itu turut menekankan hak pegawai awam yang ditahan, termasuk Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), untuk didengar sebelum sebarang tindakan seperti arahan meletak jawatan diambil. Menurutnya, tindakan tersebut bercanggah dengan Artikel 135(2) Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan peluang munasabah kepada pegawai untuk membela diri kecuali dalam kes pengecualian tertentu, termasuk sabitan jenayah.

“Pihak berkuasa tidak patut mewujudkan suatu keadaan yang membolehkan pemecatan penjawat awam secara sewenang-wenangnya tanpa mematuhi proses undang-undang yang sewajarnya,” kata Ramkarpal.

Semalam, Saifuddin Nasution tampil mempertahankan tindakan pihak polis menyerbu kelab kesihatan yang didakwa terbabit kegiatan seks songsang dan menegaskan tindakan tersebut tidak melanggar privasi mereka yang menyaksikan 208 individu ditahan.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan polis berdepan jalan buntu kerana tiada bukti yang boleh menyokong pendakwaan walaupun siasatan dijalankan bawah Seksyen 377 dan 372 Kanun Keseksaan.

Seksyen 377 merujuk kepada pelbagai kesalahan berkaitan hubungan seks luar tabii manakala Seksyen 372 pula merujuk kesalahan pelacuran.

Isnin lalu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengambil keterangan dan merakam percakapan sekumpulan lelaki yang disyaki terlibat dalam aktiviti tidak bermoral di sebuah kelab kesihatan di ibu negara pada Jumaat lepas.

Siiasatan Jawi berkaitan Seksyen 25 (Liwat), Seksyen 29 (Perbuatan Tidak Sopan di Tempat Awam) dan Seksyen 47 (Percubaan) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 (Akta 559)


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS