Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Masidi: Sabah tidak akan kompromi tuntutan hasil ‘tahun-tahun hilang’

Timbalan Ketua Menteri II, Masidi Manjun menegaskan Sabah tidak akan berkompromi dalam penyelesaian melibatkan tuntutan “tahun-tahun hilang” berkaitan hak 40 peratus hasil negeri yang tertangguh sekian lama.

Katanya ini meskipun pemimpin parti nasional kini sebahagian daripada pentadbiran negeri.

Masidi, yang turut memegang portfolio kewangan, menegaskan penyertaan parti bersekutu persekutuan seperti PH dan BN tidak melemahkan kuasa rundingan Sabah.

Menurutnya, pemimpin tersebut adalah “anak Sabah terlebih dahulu” dan sama-sama komited memulihkan hak perlembagaan negeri.

“Pemimpin daripada PH dan BN dalam kerajaan negeri juga anak Sabah.

“Soal pengaruh parti nasional tidak timbul. Mereka juga mahu melihat 40 peratus itu direalisasikan selepas semua tahun-tahun yang hilang,” katanya kepada pemberita ketika melapor diri di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, hari ini.

Pada 17 Okt lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengarahkan kerajaan Sabah dan persekutuan menyelesaikan isu “tahun-tahun hilang” dalam tempoh 90 hari, dan menuntaskan baki perkara berkaitan dalam tempoh tambahan 90 hari berikutnya.

“Tahun-tahun hilang” merujuk tempoh antara 1974 dan 2021 apabila kerajaan persekutuan tidak menunaikan ulasan hasil mandatori atau memulangkan hak perlembagaan Sabah.

Perlembagaan jelas

Masidi berkata kerajaan negeri tidak akan melayan sebarang cadangan yang menyimpang daripada formula perlembagaan di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan dan Jadual Ke-10, yang memperuntukkan Sabah berhak kepada 40 peratus hasil persekutuan yang dikutip dari negeri itu.

“Undang-undang jelas. Ia menyebut 40 peratus, dan undang-undang itu sebahagian daripada Perlembagaan. Saya tidak fikir anda boleh kompromi dengan peruntukan perlembagaan,” katanya.

Dia mengesahkan Sabah telah mengemukakan pengiraan hasil kepada Putrajaya namun angka itu tidak akan didedahkan kepada umum sehingga jawatankuasa bersama persekutuan–negeri menelitinya.

Rundingan kini berlangsung dalam tempoh 90 hari yang ditetapkan mahkamah, yang menurut Masidi telah mengubah isu itu daripada perdebatan politik kepada kewajipan pentadbiran yang mengikat.

“Suka atau tidak, kita mesti mencapai keputusan dalam tempoh itu. Ini kini antara keutamaan utama kami,” katanya sambil memaklumkan Belanjawan Sabah 2026 akan dibentangkan pada 12 Dis ini.

Ditanya mengenai rasa tidak puas hati dalam kalangan beberapa Adun Gabungan Rakyat Sabah terhadap kehadiran anggota parti nasional dalam kabinet negeri, Masidi berkata sebahagian besar kebimbangan sudah ditangani, walaupun kekecewaan selepas pilihan raya adalah perkara biasa.

“…saya percaya kebimbangan mereka telah ditangani. Gambaran besarnya adalah kestabilan politik. Tanpanya, kita tidak boleh mentadbir atau menyampaikan (perkhidmatan),” katanya.

Menurut Masidi, lebih ramai pemimpin berkeupayaan memenangi kerusi berbanding jumlah jawatan kabinet yang tersedia, namun keutamaan mereka seharusnya berkhidmat untuk Sabah berbanding mengejar jawatan.

Dakwaan beli undi

Ditanya mengenai video tular yang mengaitkan salah seorang agennya dengan aktiviti beli undi, Masidi menolak dakwaan tersebut.

“Saya mesti sangat popular sebab nama saya muncul dalam macam-macam cerita. Ia ‘sellable’, tetapi percayalah, tiada siapa beri wang.

“Tengok majoriti yang saya dapat. Anda tidak perlu beri apa-apa wang untuk menang, sejujurnya,” katanya.

Masidi berkata klip itu tidak menggambarkan perjalanan kempennya dan meminta orang ramai berhati-hati dengan dakwaan yang tidak disahkan.

Pembangkang kuat baik untuk Sabah

Menyentuh kehadiran besar Warisan sebagai blok pembangkang, Masidi berkata Sabah akan mendapat manfaat daripada kewujudan pembangkang yang kukuh dalam memastikan prestasi kerajaan diawasi dengan baik.

“Kami tidak anggap mereka musuh. Bagi kami, sama ada anda di sini atau di sana, kita semua bekerja untuk perkara sama — menjadikan Sabah tempat yang lebih baik untuk semua,” katanya.

Menurutnya lagi, pembangkang aktif penting untuk akauntabiliti.

“Adalah baik kita ada pembangkang kuat supaya mereka boleh meneliti prestasi kerajaan negeri.

“Kita perlukan semak dan imbang yang baik supaya kerajaan berfungsi dengan betul,” katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS