Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zafrul dilantik terajui Mida
Diterbitkan:  Dec 3, 2025 4:29 PM
Dikemaskini: 9:14 AM

Kerajaan melantik bekas menteri pelaburan, perdagangan dan industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz dilantik sebagai pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida).

Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata lantikan itu berkuat kuasa hari ini untuk tempoh dua tahun.

“Selain menerajui Mida, Tengku Zafrul juga akan diberikan beberapa tanggungjawab tambahan yang sedang diperinci dan diumumkan kemudian oleh perdana menteri,” kata PMO dalam kenyataan media, hari ini.

Pelantikan baru Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai pengerusi Mida ini dibuat selepas tempoh lantikannya sebagai Ahli Dewan Negara berakhir, sekali gus menutup tirai dua penggal dia sebagai menteri.

Zafrul mula dilantik menanggotai kabinet pada 2020 sebagai menteri kewangan di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin dan kemudiannya Ismail Sabri Yaakob.

Selepas Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10, Zafrul diberi kepercayaan menerajui portfolio pelaburan, perdagangan dan industri.

Dengan pengumuman terbaru ini, spekulasi mengenai kedudukan politiknya – khususnya dakwaan bahawa PKR sedang merangka percaturan untuk memberi laluan baharu kepadanya – akhirnya terjawab.

Kontroversi itu kembali hangat apabila Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, dalam podcast minggu lalu mendakwa bahawa pada peringkat awal, Zafrul dirancang menyertai PKR dan akan menjadi ahli parlimen melalui satu pilihan raya kecil tahun lalu.

Menurut Rafizi, langkah tersebut dikatakan dapat membantu Zafrul mengekalkan kedudukannya dalam kerajaan manalaka dia pula dijangka membantu melicinkan jalan untuk Nurul Izzah Anwar menggantikan Amirudin Shari sebagai menteri besar Selangor.

Rafizi turut mendakwa Anwar penyokong paling tegar kemasukan Zafrul ke dalam PKR.

Namun, dakwaan itu disangkal sepenuhnya oleh Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, yang menegaskan bahawa parti tersebut sejak tahun lalu tidak merancang menerima bekas menteri itu sebagai ahli.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS